Skuad hoki wanita kebangsaan pamer peningkatan prestasi sekalipun tewas 0-2 di tangan Wales dalam perlawanan ujian kedua di Cardiff, Wales, hari ini.
Pintu gol Malaysian Tigress dibolosi seawal minit ke-9 hasil pukulan sudut penalti menerusi Freya Diamond dan tiga minit selepas itu, Rachel Goodwin menjaringkan gol kedua tuan rumah melalui jaringan padang.
Pasukan kebangsaan yang tersentak dengan dua gol awal skuad Wales berusaha bangkit pada suku kedua, ketiga dan keempat.
Namun, gara-gara kehilangan tonggak penyerang, Nur Afiqah Syahzani Azhar yang terpaksa dibawa keluar akibat kecederaan dan hanya dimasukkan kembali pada suku terakhir permainan menyebabkan Malaysian Tigress gagal mencari gol untuk merapatkan jurang.
Ketua Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Nasihin Nubli Ibrahim berkata, anak-anak buahnya bermula dengan agak perlahan sehingga menjadi punca kepada Wales menghukum skuad negara dengan dua jaringan pada suku pertama.
“Beberapa kesilapan di bahagian tengah dan pertahanan menjadi punca kepada kekalahan Malaysia, kelemahan ini harus kita perbaiki untuk perlawanan terakhir nanti menentang tuan rumah,” katanya ketika dihubungi dari Wales, hari ini.
Menurut bekas pemain kebangsaan itu, kehilangan khidmat tonggak berpengalaman, Afiqah juga menjadi punca kepada ketumpulan bahagian serangan Malaysian Tigress.
“Afiqah cedera pada awal permainan apabila bola terkena kakinya sehingga menyebabkan dia duduk di luar sepanjang perlawanan dan dia hanya masuk balik pada suku keempat.
“Ketiadaan Afiqah sedikit mencacatkan rentak permainan kita, namun begitu, bermula suku kedua, ketiga dan keempat persembahan skuad negara bertambah baik dan aksi itu adalah yang terbaik sepanjang kita berada di sini,” ujarnya.
Jelas Nasihin, walaupun kehilangan tonggak senior, beberapa pemain muda menunjukkan potensi mereka bagi merebut tempat ke dalam skuad kebangsaan.
Mengulas lanjut mengenai aksi kelima berdepan Wales itu, beliau menyifatkan, pemainnya berjaya menguasai permainan selepas suku pertama dan mereka mampu melancarkan serangan dengan lebih baik.
“Cuma saya agak kecewa sebenarnya kerana keputusan pengadil yang terlalu banyak berpihak kepada tuan rumah.
“Gol yang pertama, walaupun bola terkena kaki tetapi (pengadil) tetap kira ia sebagai gol,” tambahnya.
Bagaimanapun, Nasihin berkata, kepincangan pengadilan bukan punca kekalahan Malaysia, anak-anak buahnya perlu bangkit untuk perlawanan terakhir dan berharap momentum yang dibina dalam aksi keempat itu dapat diterjemahkan kepada kemenangan yang dicari-cari selepas ini.