Malaysian Tigress mencatat kemenangan sulung selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan ketiga pada Kejohanan Hoki Wanita Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India, hari ini.

 

Skuad bimbingan Nasihin Nubli Ibrahim itu, bagaimanapun, dikejutkan dengan gol pendahuluan Korea Selatan hasil jaringan Cheon Eun Bi pada minit ke-15.

 

Dua kekalahan Malaysia sebelum ini, telah dijadikan pengajaran berharga selain menyaksikan skuad wanita negara tidak rela berputih mata dan usaha keras mereka akhirnya membuahkan hasil apabila Zati Alyani Muhammad Zubir menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-36.

 

Nur Shamine Azureen Mohammed Badusha memastikan tiga mata penuh menjadi milik Malaysian Tigress selepas menyumbang gol kedua pada minit ke-51.

 

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamt perlawanan dalam perlawanan yang dilangsungkan secara round robin itu.

 

Dalam temu bual selepas perlawanan berakhir, Nasihin melahirkan rasa lega anak-anak buahnya berjaya mencatat kemenangan pertama selepas berusaha keras.

 

“Alhamdulillah kita dapat meraih kemenangan pertama selepas berusaha keras memandangkan pasukan Korea Selatan merupakan sebuah pasukan yang sangat baik, boleh nampak mereka mampu mengawal permainan.

 

“Tetapi kita juga ada kekuatan kita sendiri dan menggunakan kelebihan itu untuk mengekang lawan daripada menjaringkan gol,” katanya.

 

Menurut Nasihin, kemenangan yang dilakar skuad bimbingannya itu adalah hasil usaha keras yang dilakukan sewaktu hari rehat, semalam, apabila pasukan kejurulatihan telah berbincang dengan para pemain bagi mencari formula terbaik berdepan Korea Selatan.

 

Jelasnya, daripada perbincangan itu, beliau perhatikan para pemain mempamerkan persembahan berdisiplin tinggi dan kemenangan berharga berjaya diraih Malaysian Tigress.

 

“Esok kita dapat berehat sehari, jadi, saya akan gunakan hari tersebut untuk memperbaiki pukulan sudut penalti yang gagal kita sempurnakan dengan baik pada pertemuan, hari ini,” ujarnya.

 

Mengulas mengenai perlawanan menentang Jepun pada Sabtu, Nasihin memberitahu, pasukan dari negara matahari terbit itu memiliki sebuah skuad yang mantap dan beliau berjanji hanya yang terbaik akan dipamerkan anak-anak buahnya bagi memburu kemenangan kedua pada pertemuan tersebut kelak.