Skuad hoki wanita negara membuka kempen Kelayakan Piala Dunia 2026 dengan langkah kiri apabila terpaksa akur tewas 0-5 kepada Ireland, awal pagi tadi.
Beraksi di Santiago, barisan Malaysian Tigress memulakan perlawanan dengan disiplin tinggi apabila berjaya mengekang asakan lawan pada suku pertama untuk mengikat kedudukan tanpa jaringan.
Pertahanan tersusun serta kesungguhan pemain negara menyekat setiap gerakan Ireland jelas membuktikan persiapan rapi dilakukan, sekali gus memberi isyarat bahawa Malaysia sentiasa bersedia memberikan tentangan kepada pasukan lawan dalam Kumpulan B.
Namun pada suku kedua, Ireland menemui rentak apabila Kathryn Mullan meledak gol padang pada minit ke-21 sebelum Caoimhe Perdue menggandakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi pukulan sudut penalti untuk menutup separuh masa pertama 2-0.
Memasuki babak kedua, Ireland memanfaatkan beberapa kesilapan yang dilakukan skuad negara untuk menambah jaringan menerusi Sarah McAuley dan Michelle Carey masing-masing mencetak gol pada minit ke-34 dan 37.
Roisin Upton kemudian melengkapkan kemenangan Ireland menerusi gol padang pada minit ke-40, namun keputusan tersebut tidak menggambarkan sepenuhnya daya saing yang dipamerkan pemain Malaysia terutama pada separuh masa pertama.
Ketua jurulatih hoki wanita negara, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tetap melihat banyak perkara positif yang boleh dijadikan sandaran untuk aksi seterusnya.
Jelasnya, beberapa kesilapan sendiri yang dilakukan menyebabkan pasukannya dihukum Ireland terutama menerusi serangan balas lawan.
“Kita bermula dengan baik sebenarnya melawan Ireland. Seketika kita dapat menyekat mereka namun akibat kesilapan diri sendiri dan kurang disiplin dari segi teknikal dan taktikal menyebabkan kita dihukum lawan terutamanya serangan balas daripada Ireland.
“Jadi saya betul-betul mengharapkan pemain segera pulih daripada kekalahan dan kita ada cukup masa 24 jam menjelang perlawanan seterusnya melawan Kanada untuk kita guna sebaiknya.
“Barisan kejurulatihan telah mengkaji corak permainan Kanada dan mereka adalah pasukan yang mantap. Mereka bermain dengan baik ketika menentang Jepun tadi, kita tidak akan memberi peluang kepada mereka dan akan turun dengan lebih yakin,” katanya selepas perlawanan.
Malaysia dijadual menentang Kanada pada awal pagi nanti sebelum menamatkan saingan peringkat Kumpulan B bertemu Jepun pada 6 Mac, dua perlawanan yang dilihat penting untuk menghidupkan peluang ke pusingan seterusnya.
Berdasarkan format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan A dan B akan melangkah ke separuh akhir.









