Malaysian Tigress, Speedy Tigers Selangkah Pertahankan Pingat Emas

Pasukan Hoki Wanita dan Lelaki Kebangsaan mempamerkan aksi garang apabila masing-masing berpesta gol menewaskan lawan di separuh akhir dan melangkah ke pentas final esok dengan penuh bergaya sekaligus melaungkan amaran Malaysia sudah bersedia mempertahankan pingat emas Sukan SEA Thailand 2025.

 

Malaysian Tigress yang seri 1-1 pada perlawanan terakhir round robin menentang tuan rumah, Thailand, Selasa lalu menunjukkan aksi lebih baik serta penyudah lebih tajam apabila membelasah Singapura 9-0 di Universiti Sukan Kebangsaan, Chonburi, hari ini.

 

Keputusan itu, memberi peringatan awal kepada Indonesia di pentas final bahawa Malaysian Tigress bersedia mempertahankan pingat emas yang dimenangi edisi lalu.

 

Pada aksi separuh akhir itu, Malaysia membuka tirai jaringan seawal minit kedua menerusi pukulan sudut penalti (PC) hasil sentuhan kemas Hanis Nadiah Onn sebelum Nurmaizatul Hanim Syafi Shiek Fuad menggandakan kelebihan pada minit keenam, juga menerusi PC.

 

Tekanan berterusan menyaksikan Nuramirah Shakirah Zulkifli mencetak nama selaku penjaring menerusi penalti stroke pada minit ke-10 sebelum menambah satu lagi gol padang seminit kemudian bagi meletakkan pasukan dalam kedudukan selesa.

 

Nur Afiqah Syahzani Azhar terus menceriakan kem negara apabila meledak gol kelima menerusi jaringan padang pada minit ke-19, sekaligus memastikan Malaysia menamatkan separuh masa pertama dengan kelebihan besar.

 

Memasuki separuh masa kedua, Siti Zulaikha Husain menambah derita lawan dengan gol padang pada minit ke-37 sebelum Anith Humaira Baharudin menyumbang gol ketujuh menerusi PC pada minit ke-48.

 

Intensiti serangan terus ditingkatkan dan hasilnya Siti Nur Atika Shaikh Maznan meledak gol padang pada minit ke-55 sebelum Anith Humaira sekali lagi cemerlang menyempurnakan PC pada minit ke-59 untuk melengkapkan pesta jaringan Malaysia.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Wanita Kebangsaan, Mohd Nasihin Nubli Ibrahim menyifatkan anak buahnya memperagakan permainan lebih baik berbanding ketika menentang Thailand dan hasilnya mereka mampu mencatat kemenangan besar.

 

Jelasnya, para pemain ketika ini berada dalam motivasi tinggi untuk turun menentang Indonesia dan bersedia mempertahankan pingat emas di Sukan SEA Thailand.

 

“Alhamdullilah kita mendapat semula cara permainan yang kita kehendaki namun bukan cara yang senang sebenarnya. Tekanan agak tinggi kerana pasukan-pasukan lain mempersiapkan diri dengan baik.

 

“Untuk perlawanan ini, pemain-pemain lebih fokus dan berdisplin selepas bermain dengan Thailand, kita tidak mempamerkan permainan yang baik. Hasil ‘post-mortem’ daripada barisan kejurulatihan selepas aksi berdepan Thailand, ia membuahkan hasil pada hari ini.

 

“Kita akan fokus pada final esok menentang Indonesia, pemain-pemain berada dalam motivasi yang tinggi dan pastikan emas tetap miliki kita. Paling penting tiada sebarang kecederaan, 18 pemain bersiap sedia untuk bermain. Terima kasih juga kepada peminat-peminat yang sentiasa memberi sokongan,” kata Mohd Nasihin selepas perlawanan itu.

 

Sementara itu, Speedy Tigers jelas berada dalam kelas tersendiri apabila menewaskan Singapura 12-2 di separuh akhir dan akan bertemu Thailand di pentas final, esok.

 

Syed Syafiq Syed Cholan dan Azrai Aizad Abu Kamal masing-masing mencetak hatrik dalam perlawanan itu.

 

Manakala Fitri Saari, Amirul Hamizan Azahar, Nik Aiman Nik Rozemi, Amanraj Singh, Norsyafiq Sumantri dan Shello Silverius menyumbang satu gol ketika membantu Speedy Tigers berpesta gol. Sementara dua gol saguhati Singapura dijaringkan oleh Yap Wee Lee dan Zaki Zulkarnain.

 

Ketua Jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh mengakui anak buahnya mengikuti perancangan dan taktikal yang diterapkan dengan baik.

 

Tegasnya, pendekatan sama akan diteruskan pada aksi menentang Thailand esok dan beliau berharap setiap peluang dicipta para pemainnya mampu disudahkan dalam bentuk jaringan.

 

“Pasukan beraksi dengan baik dan mengikut perancangan yang ditetapkan. Kami cepat menyesuaikan diri dengan permainan lawan, berjaya mencipta banyak peluang dan penyudah yang berkualiti.

 

“Esok adalah perlawanan akhir, jadi kami perlu mencipta lebih banyak peluang dan menjaringkan gol awal adalah lebih baik. Kami juga perlu mematikan perlawanan lebih awal seperti yang dilakukan hari ini,” kata Sarjit.