Skuad hoki wanita negara terpaksa akur tewas 1-3 kepada gergasi Asia, China, pada separuh akhir Kejohanan Hoki Wanita Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India, hari ini.
Malaysian Tigress yang diperkuatkan rata-rata tenaga muda dengan 10 daripada mereka terdiri daripada pemain remaja mempamerkan peningkatan prestasi membanggakan menentang China kali ini.
Walaupun dibolosi seawal minit ke-10 hasil gol padang Deng Qiuchan, namun, para pemain negara sekurang-kurangnya mampu menguasai bola dengan baik bagi mengekang asakan China.
Namun begitu, pengalaman mengatasi segala-galanya, apabila pemenang pingat perak Sukan Olimpik Paris itu berjaya menjaringkan gol kedua hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan kapten, Fan Yunxia pada minit ke-17.
China yang diterajui ketua jurulatih, Huang Yongsheng menjarakkan kedudukan menjadi 3-0 apabila sekali lagi memanfaatkan pukulan sudut penalti dan kali ini menerusi Tan Jinzhuang pada minit ke-23.
Pasukan negara yang enggan mengaku kalah bekerja keras bagi mencari gol merapatkan jurang defisit dan usaha tersebut menemui hasil melalui jaringan pukulan sudut penalti pemain pertahanan, Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit ke-36.
Ketua jurulatih Malaysian Tigress, Nasihin Nubli Ibrahim berkata, dia berpuas hati dengan prestasi yang dipamerkan para pemainnya walaupun mereka tewas.
“Saya rasa pemain-pemain sudah memberikan yang terbaik, kita boleh nampak mereka ada peluang menjaringkan gol dan perlawanan hari ini berbeza dengan pertemuan kita sewaktu menentang China dalam perlawanan sebelum ini.
“Sebab kita boleh tengok Malaysia banyak pegang bola dan menyukarkan China untuk menyerang kita, pujian kepada semua pemain termasuk pemain muda yang telah bekerja keras menunjukkan mereka mampu berada di tahap yang bagus,” katanya.
Mengulas mengenai perlawanan penentuan ketiga/keempat, beliau berharap anak-anak buahnya dapat mempamerkan persembahan yang lebih bagus berbanding hari ini.
“Malam ini kita akan membuat persediaan untuk perlawanan, esok, kita akan bekerja keras untuk mendapatkan podium dan saya yakin dengan para pemain mampu merealisasikan tugas itu,” ujarnya.