Pasukan hoki wanita negara terlepas peluang untuk sekurang-kurangnya mencapai keputusan podium selepas tewas 1-4 kepada Jepun dalam perlawanan penentuan tempat ke-3/4 pada Kejohanan Hoki Wanita Trofi Juara-Juara Asia di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, India, hari ini.

 

Pintu gol Malaysian Tigress dibolosi seawal minit ketiga hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Mayuri Horikawa.

 

Jepun yang dibimbing Kazuyuki Ozawa melebarkan kedudukan menjadi 2-0 selepas kesilapan benteng pertahanan Malaysian Tigress membuka laluan kepada Hiroka Murayama menjaringkan gol kedua pada minit ke-24.

 

Berselang empat minit kemudian, Jepun terus melebarkan jurang gol dan kali ini giliran Ayana Tamura pula mencatat nama selaku penjaring.

 

Gol keempat Jepun hadir menerusi Miyu Hasegawa pada minit ke-35 hasil penyudahan pukulan sudut penalti, meletakkan pasukannya berada dalam kedudukan selesa ketika saingan berada di suku ketiga permainan.

 

Malaysian Tigress memperoleh gol sagu hati sumbangan penyerang remaja negara, Azmyra Mia Sofea Azhairy pada minit ke-48 dan keputusan kekal skuad kebangsaan tewas 1-4 sehingga tamat perlawanan.

 

Ketua jurulatih, Nasihin Nubli Ibrahim berkata, pasukan Jepun bermula dengan cukup baik pada suku pertama dan kedua yang mana mereka telah menghukum pasukan negara dengan jaringan awal.

 

“Kita hanya dapat menyusun rentak pada suku ketiga dan keempat dengan para pemain mula beraksi lebih kemas sehingga berjaya menjaringkan gol,” katanya.

 

Mengulas lanjut mengenai pencapaian keseluruhan anak-anak buahnya di India, Nasihin memberitahu, Malaysian Tigress hadir ke negara itu dengan dibarisi rata-rata pemain muda yang masih cetek pengalaman.

 

Jelas beliau, rata-rata dalam kalangan pemain beraksi buat kali pertama pada Piala Juara-Juara Asia dan terdapat peningkatan dari segi persembahan serta keyakinan diri.

 

“Kalau tengok lebih jauh, kita perlu berusaha keras daripada banyak segi dan saya percaya antara perkara yang kita perlu perbaiki terutama dari segi kekuatan tahap kecergasan dan teknikal permainan hoki para pemain.

 

“Untuk makluman semua, di Malaysia kita masih ada pemain berpengalaman yang tidak menyertai pasukan ke India, jadi, saya jangkakan persaingan selepas ini akan menjadi lebih sengit,” ujarnya.

 

Menurut Nasihin, pasukan kejurulatihan berjanji akan melakukan segala-galanya dalam mencari resipi terbaik dan percaya Piala Juara-Juara Asia mampu menjadi batu loncatan dalam memajukan pasukan hoki wanita.