Malaysian Tigresses Di Landasan Tepat Rebut Slot Ke Kelayakan Olimpik

Peluang buat Skuad Senior Wanita Kebangsaan untuk beraksi di pusingan kelayakan Sukan Olimpik Los Angeles 2028 (LA 2028) terus terbuka dengan kemenangan 3-0 yang diraih ke atas Indonesia, hari ini.

 

Malaysian Tigresses tidak berdepan masalah untuk menewaskan Indonesia dalam aksi klasifikasi lima hingga lapan di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara sekaligus mara ke penentuan tempat kelima dan keenam pada 2 Oktober ini.

 

Skuad Senior Wanita kini memerlukan satu lagi kemenangan ke atas Thailand atau Taiwan untuk menamatkan Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di tempat kelima dan layak ke pusingan kelayakan Sukan Olimpik LA 2028.

 

Namun, ketua jurulatihnya, C.R. Kumar menuntut anak-anak buahnya supaya turun beraksi di tahap sebenar pada aksi seterusnya selepas kurang gembira dengan keseluruhan prestasi menentang Indonesia hari ini.

 

“Sebagai jurulatih, saya tidak gembira dengan kemenangan 3-0 yang mana ia bukan seperti kami sasarkan. Kadang-kadang ia sukar, lagi-lagi apabila terlalu ramai pemain berada dalam kawasan D.

 

“Bagaimanapun, itu bukan alasan kerana pemain ada banyak peluang terutama 12 pukulan sudut penalti (PC) yang mana kami hanya jaringkan dua daripada jumlah itu. Kami perlu lebih baik di perlawanan seterusnya.

 

“Saya percaya kami akan turun lebih baik untuk menamatkan kejohanan di tempat kelima supaya kami layak ke kelayakan Olimpik,” katanya.

 

Dalam aksi hari ini, Malaysian Tigresses terpaksa menunggu sehingga minit ke-20 untuk membuka tirai jaringan menerusi gol padang Zati Alyani Muhammad Zubir.

 

Skuad Senior Wanita Kebangsaan memastikan kemenangan selesa 3-0 dengan tambahan dua lagi gol PC menerusi Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit ke-41 dan 55.