Kemenangan Speedy Tigers ke atas Kanada semestinya menyuntik motivasi pemain-pemain menjelang aksi berdepan New Zealand esok bagi perlawanan ketiga Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) 2024.
Perkara itu diakui ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh berkata kemenangan 6-2 ke atas Kanada, semalam pastinya memberi keyakinan kepada para pemain selepas tewas tipis 4-5 di tangan Pakistan pada perlawanan pertama Sabtu lalu.
Begitupun, menjelang aksi berdepan New Zealand, Sarjit menyedari ia bukan masa tepat untuk mereka menentang pasukan di tangga ke-10 dunia itu selepas Black Sticks dimalukan Jepun 4-1, semalam.
Tambahnya, skuad kendalian Greg Nicol adalah sebuah pasukan yang menerapkan taktikal menyerang dan ia akan menjadi satu lagi perlawanan sukar untuk Malaysia.
“Saya rasa mereka (New Zealand) memiliki sebuah pasukan yang bagus dan sempurna. Mereka akan berterusan melakukan tekanan kepada kita dan ia akan menjadi satu perlawanan sangat sukar untuk kami dan tidak mudah.
“Tetapi ia juga satu perlawanan cukup bagus kepada pemain-pemain kerana kami masih dalam proses membentuk pasukan ke arah yang lebih baik.
“Ia juga bukan masa yang sesuai untuk kami menentang mereka. Jepun baharu saja menang 4-1 ke atas New Zealand dan kini giliran kita bertemu mereka pada perlawanan seterusnya, jadi ia akan menyukarkan,” kata Sarjit.
Susulan kemenangan ke atas Kanada, pasukan hoki lelaki Malaysia kembali berada di tangga ke-13 dunia dalam Ranking Dunia FIH terbaru yang dikeluarkan, selepas turun pada kedudukan ke-14 dunia ketika tewas kepada Pakistan, Sabtu lalu.
Berbalik kepada aksi menentang Kanada, enam gol diperolehi Speedy Tigers dalam perlawanan berkenaan dijaringkan oleh enam pemain berbeza bermula dengan ledakan Fitri Saari,Azrai Aizad Abu Kamal, Azimuddin Syakir Kamaruddin, Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan dan ditutup menerusi jaringan menarik Faizal Saari.
Sementara itu, ketua jurulatih pasukan hoki New Zealand, Greg Nicol bersedia untuk ‘menutup mulut’ penyokong-penyokong Malaysia yang hadir ke stadium.
Namun, Nicol mengakui jentera serangan Malaysia sangat berbahaya dan mereka tidak boleh diberikan ruang terlalu besar.
“Akan menjadi perlawanan yang menghiburkan…ramai penyokong tuan rumah akan hadir dan kami akan membuat mereka diam.
“Kami ada strategi terbaik menentang Malaysia. Selain itu, pertahanan kami tidak boleh memberi ruang terlalu banyak kepada jentera serangan Malaysia kerana mereka berbahaya dan boleh menghukum kami,” ujarnya.