Mazda Kenderaan Rasmi Piala Negara-Negara 2024-25 Malaysia

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) berbesar hati dengan kesudian Bermaz Auto menaja 10 buah kereta jenama Mazda sebagai kenderaan rasmi bagi Kejohanan FIH Hoki Piala Negara-Negara 2024-25, Malaysia.

 

Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Ben Yeoh berkata pihaknya akan menaja lima buah kenderaan CX-5 dan lima buah CX-8 untuk digunakan pada kejohanan itu.

 

Jelasnya, kerjasama antara pihaknya dan KHM telah memasuki tahun ketiga dan penajaan ini adalah tanggungjawab sosial kepada sukan negara.

 

“Kerjasama Bermaz Auto dan KHM telah memasuki tahun ketiga. Bagi saya ini adalah tanggungjawab sosial korporat kami kepada sukan negara. Penajaan ini tidak terlalu mahal dan kami akan terus memberi yang terbaik,” katanya.

 

Sementara itu, Timbalan Presiden KHM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak mengucapkan jutaan terima kasih kepada pihak Bermaz Auto yang terus memberi sokongan kepada sukan hoki negara.

 

Katanya, untuk mendapatkan penajaan dalam sukan hoki ini adalah sukar tetapi Bermaz Auto tampil memberi sokongan dan beliau harap jalinan kerjasama ini akan berterusan.

 

“Bermaz Auto merupakan penaja Automobil rasmi badan sukan induk hoki di Malaysia. Terima kasih kepada Tan Sri Ben Yeoh dan Bermaz Auto di atas kesudiaan menjadi penaja. Kami di pihak KHM amat berbesar hati dan gembira.

 

“Selain kejohanan ini, Bermaz Auto turut menaja kereta untuk kegunaan jurulatih kita, ia bermula sejak Mac 2022. Bukan itu Sahaja, ini juga merupakan penajaan khas kejohanan kedua selepas FIH Hoki Piala Dunia Remaja Lelaki, Kuala Lumpur 2023.

 

“Kenderaan ini akan digunakan bermula 13 Jun sehingga 22 Jun 2025 dan akan menjadi kenderaan rasmi kejohanan yang akan digunakan oleh pegawai-pegawai yang terlibat sepanjang kejohanan berlangsung.

 

“Menerusi penajaan ini, ia memberikan cerminan baik dan menjadi kebanggaan buat KHM dan kejohanan ini sendiri serta pasukan kebangsaan apabila jenama yang cukup besar seperti Mazda memberikan sokongan,” katanya Dato’ Ahmad Najmi.

 

Turut hadir dalam majlis penajaan itu adalah Naib Presiden KHM merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Dato’ Sri Dr Anil Sandhu, V. Jayanandhan (Ketua Pegawai Eksekutif KHM) serta Pengarah Pemasaran Bermaz Auto, Lee Ai Hoon.

 

Kejohanan Piala Negara-Negara yang dijadualkan berlangsung pada 15 hingga 21 Jun 2025 bakal menyaksikan lapan pasukan berentap merebut gelaran juara sekaligus meraih tempat di liga tertinggi hoki dunia, FIH Pro League 2025-26.

 

Malaysia dalam Kumpulan B bersama New Zealand, Jepun dan Pakistan sementara Kumpulan A, menampilkan Afrika Selatan, Perancis, Korea dan Wales.