Melaka, Pahang, Selangor dan Kedah memastikan slot ke pusingan seterusnya, Kumpulan X-Y dalam Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak (Wanita) 2021 yang berlangsung hari ini di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil, selepas masing-masing muncul juara dan naib juara saingan peringkat Kumpulan.
Tamat aksi peringkat Kumpulan A hari ini, Melaka secara rasminya muncul selaku Juara Kumpulan A menerusi tujuh mata keseluruhan yang dikumpul selepas terikat seri 3-3 bersama Pahang yang muncul selaku naib juara dengan mengumpul keseluruhan lima mata.
Sementara Juara Kumpulan B milik Selangor dengan rekod tanpa kalah dalam semua perlawanan peringkat kumpulan selepas menundukkan Perak 6-1 pada aksi terakhir hari ini dan keputusan seri 3-3 antara Kedah dan PDRM menyaksikan Kedah muncul naib juara Kumpulan B hasil empat mata keseluruhan yang dikumpul.
Pertemuan antara Melaka dan Pahang menyaksikan Melaka terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol pukulan sudut penalti yang disudahkan oleh Nurul Faezah Shafiqah Khalim pada minit ke-24 sebelum Pahang di depan hasil dua gol gerakan padang Zati Alyani Muhamad Zubir pada minit ke-28 dan 33.
Pahang terus melebarkan jurang jaringan menjadikan kedudukan 1-3 memihak mereka pada selepas satu lagi kelebihan pukulan sudut penalti diterjemahkan kepada jaringan oleh Thiba Tharshini James pada minit ke-42.
Walaupun ketinggalan, ia tidak mematahkan semangat skuad wanita Melaka untuk terus bangkit mengejar dan minit ke-50 mereka kembali merapatkan kedudukan hasil jaringan Norshafiqha Ishak sebelum Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin muncul penyelamat Melaka dengan jaringan padang pada minit ke-58 untuk kedudukan berkesudahan 3-3.
Penolong Jurulatih Melaka, Mohd Azri Mohi beranggapan walaupun pasukannya telah layak lebih awal untuk ke pusingan seterusnya, tetapi barisan kejurulatihan tetap menuntut pemain memberikan aksi terbaik pada aksi terakhir peringkat kumpulan dan pemain melakukannya dengan baik.
“Perlawanan hari ini menguji kemampuan pemain kami untuk bangkit daripada ketinggalan 1-3 dan tentangan yang cukup hebat daripada juara bertahan, Pahang yang memiliki pemain berkualiti.
“Kami berjaya untuk bangkit pada suku terakhir dan saya berharap dengan semangat daripada perlawanan hari ini iaitu tidak kenal erti penat, erti mengalah, dapat dibawa ke pusingan seterusnya nanti,” ujarnya.
Mohamad Sabri Mohamad, Jurulatih Pahang pula berpandangan anak-anak buahnya bermula dengan rentak perlahan walaupun berjaya berada di hadapan 3-1 pada satu ketika namun kesilapan pada suku terakhir yang dilakukan oleh skuad bimbingannya itu menutup impian mereka untuk muncul selaku juara kumpulan.
“Saya tetap berpuas hati dengan skuad bimbingan saya kerana kami layak untuk ke pusingan seterusnya dan perlawanan hari ini merupakan satu pengajaran terbaik untuk pemain-pemain terutamanya apabila sedang mendahului dengan selesa.
“Saya akan melihat kembali perlawanan-perlawanan yang telah kami lalui dan lakukan persiapan rapi untuk menghadapi aksi pusingan seterusnya,” jelasnya.
Satu lagi aksi Kumpulan A berkesudahan dengan jaringan tunggal Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun pada minit-minit terakhir perlawanan menghadiahkan Sabah tiga mata untuk mereka menamatkan aksi peringkat kumpulan di kedudukan ketiga.
Dalam pada itu, pertemuan bagi Kumpulan B pula menyaksikan juara kumpulan, Selangor tidak berdepan masalah untuk mencatat kemenangan ketiga berturut-turut meraka dalam saingan peringkat kumpulan menewaskan Perak 6-1.
Selangor bagaimanapun perlu menunggu sehingga minit ke-30 perlawanan untuk memecah kebuntuan jaringan hasil gol gerakan padang Nur Atira Mohamad Ismail yang sekaligus menutup aksi separuh masa pertama.
Seminit sejurus bersambung separuh masa kedua, Selangor terus menambah jaringan gol kali ini menerusi bekas pemain kebangsan, Nurul Safiqah Mat Isa sebelum gol tunggal Perak hasil jaringan Liyana Aqilah Mohd Sepawi tercipta pada minit ke-37.
Bagaikan tidak puas untuk menghasilkan gol, Selangor terus menambah empat lagi gol padang kali ini menerusi Anis Nurfatihah Asmidee (minit ke-38), Dayang Nuramirah Abang Mahadini (minit ke-39) dan dua gol menerusi Soraya Dania Rahimi (minit ke-58 dan 59).
Pengendali Selangor, Ikmal Abdul Jabar, memuji pemainnya yang kekal sabar untuk mencari gol selain turut memuji pasukan Perak kerana bertahan dengan sangat baik sehingga pemain Selangor sukar untuk menjaringkan gol pada awal perlawanan.
“Alhamdulillah kami dapat mengumpul mata dengan kemenangan jaringan yang besar dan saya telah memberikan pesanan kepada pemain untuk mengekalkan momentum. Pujian harus saya berikan kepada pemain saya kerana berjaya mengekalkan fokus mengikut sistem permainan kami.
“Saya juga berpuas hati kerana pasukan kami boleh menjaringkan gol selain kurang melepaskan gol sepanjang perlawanan peringkat kumpulan,” ujarnya.
Satu lagi perlawanan yang menemukan Kedah dan PDRM tamat dengan kedua-dua pasukan berkongsi satu mata selepas terikat 3-3 dengan Kedah terlebih dahulu dihadapan hasil tiga gol yang dicipta menerusi dua pukulan sudut penalti oleh Nur Afiqah Syahzani Azhar dan Nuramirah Shakirah Zulkifli masing-masing pada minit ke-10 dan ke-11 sebelum Nur Lyana Soberi terus memberikan kelebihan buat Kedah 3-0 pada minit ke-31.
Kebangkitan ditunjukkan oleh PDRM walaupun ketinggalan dengan Norhasikin Halim muncul penjaring hatrik buat PDRM hasil dua gol padang dan satu pukulan sudut penalti pada minit 51, 58 dan 59 untuk keputusan akhir kedua-dua pasukan terikat seri 3-3.
JADUAL PERLAWANAN (Isnin, 15/11/21)
WANITA
Kumpulan C (7.30 pagi)
NHS 1: Terengganu mln Kuala Lumpur
NHS 2: Sarawak mln Pulau Pinang









