Menang Sahaja Belum Cukup, Carolan Mahu Speedy Tigers Tampil Lebih Baik

Skuad Senior Lelaki Kebangsaan memulakan kempen Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia (ACT) 2026 dengan kemenangan 5-4 ke atas China. Namun, Ketua Jurulatihnya, Brendon Carolan menegaskan Speedy Tigers perlu meningkatkan prestasi bagi menghadapi cabaran seterusnya.

 

Meskipun berjaya mengutip kemenangan dalam aksi pembukaan di Stadium Hoki Olympian Surjit Singh, Carolan mengakui persembahan anak buahnya tidak mencapai tahap yang diharapkan, jika dibandingkan dengan prestasi yang ditampilkan sebelum ini.

 

“Kredit kepada China kerana mereka sempurnakan pukulan sudut penalti dengan baik, selain bertahan dengan tersusun di kawasan sendiri.

 

“Saya sedikit kecewa dengan cara kami bermain. Prestasi yang ditampilkan tidak cukup baik berbanding apa yang telah kami tunjukkan sebelum ini. Kami perlu beraksi lebih baik untuk aksi seterusnya,” katanya.

 

Dalam pada itu, Carolan mengakui keadaan cuaca panas ketika perlawanan berlangsung jam 1 tengah hari turut menjadi cabaran kepada pasukan, terutama selepas mengharungi beberapa perlawanan dalam tempoh sejak Sukan Asia.

 

Bagaimanapun, beliau menegaskan Speedy Tigers perlu cepat menyesuaikan diri dan meningkatkan prestasi bagi memastikan sasaran pasukan dicapai.

 

“Perkara paling penting adalah memenangi perlawanan. Saya berharap pemain dapat bermain lebih baik daripada apa yang ditampilkan hari ini.

 

“Kami sedang berusaha untuk kembali ke kedudukan ke-12 dunia dan kami perlu menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada ini untuk mencapai sasaran tersebut,” katanya.

 

Speedy Tigers yang turun ke kejohanan itu selepas meraih pingat perak Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 kini perlu mengalihkan perhatian kepada pertemuan menentang Korea Selatan pada 29 Oktober ini.

 

Dalam aksi menentang China, Malaysia memperoleh tiga jaringan padang menerusi dua gol Azrai Aizad Abu Kamal pada minit keempat dan ke-14 serta satu gol Akhimullah Anuar Esook juga pada minit ke-14.

 

Dua lagi jaringan hadir menerusi penalti stroke Faizal Saari dan pukulan sudut penalti Azimuddin Syakir Kamaruddin, masing-masing pada minit ke-34 dan ke-35.

 

China sementara itu membalas menerusi jaringan Wang Yaqi pada minit ke-11, Ne Moda pada minit ke-12 serta dua jaringan Chen Benhai pada minit ke-27 dan ke-44.