Misi Skuad Hoki Lelaki B-18 Ke Separuh Akhir Tercapai

Skuad Hoki Lelaki Bawah 18 (B-18) Tahun Kebangsaan memastikan sasaran mara ke separuh akhir Piala Asia Remaja B-18 2025 menjadi kenyataan walaupun seri 2-2 dengan Uzbekistan dalam aksi terakhir Kumpulan B di Dazhou, China hari ini.

 

Keputusan itu membolehkan Young Tigers muncul naib juara Kumpulan B di belakang Jepun dan bakal membuat perhitungan menentang juara Kumpulan A di separuh akhir pada Jumaat ini.

 

Pada aksi terakhir Kumpulan B itu, Uzbekistan terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi gol padang diledak oleh Bunyodbek Khudoynazarov pada minit ke-34 namun Malaysia berjaya menyamakan kedudukan seminit kemudian hasil sentuhan penyudah Muhammad Izz Ilhan Azrul Ridzuan.

 

Uzbekistan sekali lagi di depan kali ini hasil penyudah Nuriddinbek Rahmatullaev yang menyempurnakan pukulan penalti stroke di minit ke-51 tetapi skuad muda negara enggan menyerah kalah apabila bangkit sekali lagi dengan menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Rafiq Mohamad Raze enam minit kemudian, juga menerusi pukulan penalti stroke.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki B-18 Tahun Negara, Mohd Sufian Mohamad bersyukur dengan pencapaian anak buahnya yang memastikan sasaran mara ke separuh akhir tercapai.

 

Namun begitu, beliau sedikit kecewa dengan sentuhan penyudah terutama menerusi pukulan sudut penalti apabila memperolehi peluang itu sebanyak sembilan kali tetapi hanya mampu menyempurnakan satu.

 

“Syukur Alhamdulillah pertama sekali kita layak ke separuh akhir tidak kira apa pun keputusan pada hari ini. Tetapi kita perolehi sembilan pukulan sudut penalti namun hanya satu dapat disudahkan.

 

“Jadi saya sedikit tidak berpuas hati dengan set piece pukulan sudut penalti pada hari ini dan saya harap pemain-pemain dapat menilai semula apa kekurangan perlawanan ini dan dapat perbaiki segera,” katanya.

 

Mohd Sufian turut mengakui struktur permainan pasukan sedikit longgar, namun memuji semangat juang pemain yang tetap beraksi bermati-matian hingga ke saat akhir.

 

Justeru, beliau, pemain dan barisan kejurulatihan akan menggunakan tempoh satu hari rehat dengan sebaik mungkin untuk menilai semula prestasi serta menyusun strategi terbaik.

 

Tegasnya, saingan separuh akhir dijangka lebih mencabar kerana kesemua pasukan yang layak merupakan antara skuad terbaik Asia dalam kategori remaja.

 

“Separuh akhir bukan macam peringkat kumpulan. Semua pasukan yang layak kali ini kuat dan kita kena bersedia sepenuhnya dari segi fizikal, taktikal dan mental.

 

“Tempoh rehat ini saya akan berbincang dengan barisan kejurulatihan bersama pemain untuk menilai semula secara keseluruhan kelemahan dan apa yang perlu ditingkatkan menjelang aksi separuh akhir,” jelasnya.