Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) secara rasmi telah mengumumkan, bekas pemain negara, Nor Saiful Zaini Nasiruddin dilantik sebagai Ketua Jurulatih Skuad Hoki Remaja Lelaki Negara bagi dua edisi Piala Dunia Remaja 2025 dan 2027.
Perkara itu diumumkan oleh Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal yang turut berkongsi, Nor Saiful Zaini bakal menggalas tugas membimbing skuad remaja hoki negara mengharungi dua edisi Piala Dunia akan datang.
Tugasan pertama beliau adalah membentuk skuad terbaik bagi mengharungi Piala Dunia Remaja 2025 yang dijadualkan pada 28 November hingga 10 Disember di Chennai, India dan edisi seterusnya pada 2027.
Dato’ Sri Subahan memberi jaminan bahawa KHM dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan terus menjalinkan kerjasama baik dalam memberi sokongan serta bantuan penuh kepada pembentukan pasukan berkenaan.
“KHM hari ini mengumumkan, jurulatih Nor Saiful Zaini dilantik sebagai Ketua Jurulatih Skuad Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan dan beliau akan membimbing pasukan ini dalam dua edisi Piala Dunia iaitu 2025 dan 2027.
“Ini sebahagian daripada langkah proaktif yang diambil oleh KHM kerana kami berdepan dengan beberapa perkara yang tidak dapat dikawal daripada segi kewangan dan sebagainya. Kami akan berkerjasama lebih rapat dengan TNB dalam memberikan sokongan penuh kepada pasukan ini. Kami mahu mereka menjadi sebahagian daripada kita, duduk bersama dan berbincang bagaimana untuk membentuk pasukan ini.
“Kami juga berharap langkah ini akan memberi semangat tambahan kepada jurulatih Saiful Zaini untuk terus membawa hoki negara ke tahap yang lebih tinggi.
“Pentingnya kita membawa masuk pemain muda yang bukan sahaja boleh bermain di Piala Dunia kali ini tetapi untuk edisi akan datang 2027. Kami mahu mereka untuk menimba pengalaman berharga dan kami beri beliau (Nor Saiful Zaini) tugas sehingga dapat membawa pasukan pada Piala Dunia akan datang. Idea ini turut dipersetujui oleh TNB.
“Pada penyertaan Piala Dunia Remaja tahun ini, kami berharap pemain yang diberikan kepercayaan akan menimba pengalaman berharga supaya pada edisi akan datang kita mampu meraih sesuatu yang positif,” kata Dato’ Sri Subahan dalam sidang media di Pejabat KHM.
Nor Saiful bukan nama asing dalam arena sukan hoki negara kerana beliau adalah bekas kapten pasukan hoki kebangsaan, selain memiliki pengalaman dalam bidang kejurulatihan yang cukup luas.
Turut hadir dalam sidang media tersebut adalah Timbalan Presiden KHM, Dato’ Ahmad Najmi Abdul Razak, Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan KHM, Dato’ Majid Manjit Abdullah dan mantan Ketua Jurulatih Pasukan Remaja Lelaki Kebangsaan, I. Vikneswaran.
Dalam masa sama, Dato’ Sri Subahan mengakui Program Pembangunan Hoki Negara (NHDP) berada dilandasan terbaik dan berjalan dengan lancar apabila data dan statistik menunjukkan keberkesanan program berkenaan.
“Statistik dan data menunjukkan pemain-pemain yang berada dalam program NHDP kebanyakkan berjaya berada dalam skuad kebangsaan. Program pembangunan ini berjalan dengan baik. Walaupun mungkin bukan 100 peratus bagus tetapi kita menggunakan semua yang kami ada untuk memastikan program ini berjalan lancar dan membuahkan hasil,” tambahnya lagi.