Penyerang Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Mohamad Akhimullah Anuar Esook kini bersedia membuka satu lagi lembaran baharu dalam kariernya apabila bakal membuat penampilan sulung di pentas Piala Dunia 2026.
Akhimullah pernah menempa pelbagai kejayaan di peringkat tertinggi acara hoki lima sebelah (5s) seperti penjaring terbanyak dan pemenang pingat emas Sukan Olimpik Remaja (YOG) 2018 di Buenos Aires, Argentina.
Beliau turut membantu Malaysia muncul naib juara Piala Dunia Hoki 5s 2024 di Muscat, Oman hingga diangkat sebagai Pemain Terbaik Kejohanan (MVP) tersebut.
Di sebalik segala pencapaian gemilang itu, penantian Akhimullah untuk beraksi di pentas tertinggi acara hoki padang akhirnya bakal tercapai pada edisi Piala Dunia 2026 di Wavre, Belgium bermula 15 hingga 30 Ogos ini.
“Alhamdulillah, saya bersyukur masih diberi peluang untuk bermain di Piala Dunia yang mana ini akan menjadi penampilan pertama saya.
“Walaupun saya sudah bermain dan mendapat beberapa kejayaan di pentas dunia hoki 5s, kali ini berbeza kerana saya akan merasai pengalaman Piala Dunia hoki padang pula,” katanya.
Pastinya, Akhimullah akan menjadi sandaran terbaik di bahagian jentera serangan Speedy Tigers menjelang perlawanan pertama Kumpulan B menentang juara bertahan, Jerman di Arena Hoki Belfius malam esok (15 Ogos).
Bagaimanapun, beliau tidak meletakkan sasaran untuk mengejar sebarang anugerah individu, sebaliknya hanya fokus sepenuhnya membantu Speedy Tigers yang turut diundi bertemu Perancis dan Belgium dalam Kumpulan B.
“Setiap kejohanan ada sasaran tersendiri. Kali ini saya tiada sasaran untuk anugerah individu. Saya cuma mahu fokus untuk membina pasukan dan memperbaiki kesilapan-kesilapan daripada kejohanan sebelum ini.
“Keyakinan itu ada, tetapi kami perlu fokus kepada setiap perlawanan, beri yang terbaik dan paling penting, perlu menjaringkan gol daripada setiap peluang yang kita ada.
“Tiada yang mustahil. Selagi kita berusaha dan melakukan perkara yang betul di atas padang, keputusan akan datang,” katanya.
Kini, selepas menempa nama dalam hoki 5s, Akhimullah mempunyai peluang untuk mencipta satu lagi sejarah peribadi dengan membuktikan dirinya di pentas Piala Dunia hoki padang buat kali pertama.









