Peluang Malaysian Tigress Ke Separuh Akhir Kembali Terbuka

Skuad Senior Wanita Kebangsaan kembali ke landasan kemenangan selepas menewaskan Taiwan 5-0 dalam aksi keempat Kumpulan B Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Stadium Kawasaki Juko, Kakamigahara hari ini.

 

Kemenangan itu amat berharga buat Malaysian Tigress kerana ia menghidupkan semula peluang ke separuh akhir selepas tewas 0-4 kepada finalis Sukan Olimpik Paris 2024, China dalam aksi ketiga sebelum ini.

 

Ia juga semestinya melonjakkan motivasi dan semangat anak-anak buah C.R. Kumar yang selepas ini wajib menewaskan Korea Selatan dalam aksi terakhir Kumpulan B pada 27 September ini.

 

Hanya kemenangan akan melayakkan Malaysian Tigress ke separuh akhir sebagai naib juara Kumpulan B, mengiringi China yang sudahpun mengesahkan slot mereka.

 

Dalam aksi hari ini, barisan pemain memulakan permainan dengan begitu cemerlang menerusi empat gol dalam suku masa pertama hasil satu pukulan sudut penalti (PC) dan tiga jaringan padang (FG).

 

Ia bermula dengan PC daripada Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin pada minit kesembilan sebelum Siti Nur Atika Shaikh Maznan menggandakan kedudukan berselang seminit kemudian.

 

Skuad Senior Wanita Kebangsaan menambah dua lagi gol selepas itu dalam tempoh tiga minit menerusi Nuramirah Shakira Zulkifli dan Siti Zulaikha Husain, masing-masing pada minit ke-12 serta 15.

 

Bagaimanapun, Malaysian Tigress gagal menambah jaringan dalam baki 35 minit seterusnya sehinggalah Siti Zulaikha meledak gol kedua peribadinya, menjadikan kedudukan 5-0 pada minit ke-50.

 

Kali terakhir Skuad Senior Wanita Kebangsaan memecah masuk kelompok empat terbaik Sukan Asia pada edisi Seoul 1986 setelah meraih pingat gangsa empat tahun sebelum itu di New Delhi, India.

 

Tiga edisi selepas itu Malaysian Tigress tidak layak beraksi di Sukan Asia dari 1990 hingga 1998 sebelum mula meraih tempat kelima pada 2006, 2010, 2014, 2018 dan 2022.