Peminat Hoki Yang Hadir Ke Final Piala TNB 2025 Berpeluang Menang Motosikal Elektrik

Bersempena perlawanan akhir Piala TNB 2025, peminat-peminat sukan hoki tanah air berpeluang memenangi sebuah motosikal elektrik dan pelbagai hadiah menarik dengan syarat hadir ke Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu ini (22 Februari).

 

Selain motosikal elektrik jenama Superlux Bos2000, dua jam tangan jenama Garmin, Airpods, Gold Bar dan pelbagai lagi hadiah menarik menanti peminat-peminat yang hadir ke stadium untuk menyaksikan perlawanan berkenaan.

 

Mereka yang ingin menyertai cabutan bertuah itu, diwajibkan mengikuti atau ‘follow’ semua media sosial Konfederasi HokiMalaysia (MHC) iaitu Facebook, TikTok, Instagram dan platform X untuk menuntut nombor cabutan bertuah berkenaan.

 

Nombor cabutan bertuah boleh didapati pada hari perlawanan bermula pukul 5 petang hingga 7.30 malam di stadium berkenaan.

 

Justeru, Konfederasi Hoki Malaysia menjemput semua peminat sukan tanah air untuk hadir memenuhi segenap tempat duduk Stadium Hoki Bukit Jalil pada Sabtu ini (22 Februari).

 

Seruan itu turut disuarakan oleh Presiden KHM, Datuk Seri Subahan Kamal yang menjemput semua peminat-peminat sukan hoki tanah air untuk hadir menyaksikan perlawanan akhir Piala TNB itu.

 

Jelas Subahan, selain dapat menyaksikan perlawanan akhir, semua peminat yang hadir ke stadium berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan.

 

“Saya ingin menjemput semua peminat sukan hoki tanah air datang ke Stadium Hoki Bukit Jalil, Sabtu ini pada pukul 6 petang untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala TNB 2025.

 

“Insyallah banyak hadiah-hadiah lumayan disediakan untuk peminat. Datanglah ramai-ramai untuk meriahkan lagi suasana di padang hoki Bukit Jalil,” katanya.