Persiapan Skuad Senior Lelaki Negara sudah memasuki fasa terakhir dengan 18 pemain bakal membawa cabaran di kempen Piala Sultan Azlan Shah (Piala SAS) bermula dari 4-11 Mei depan di Ipoh.
Kem hoki negara kini dalam fasa menekankan pemahaman taktikal yang direncana oleh barisan kejurulatihan.
Dua aksi persahabatan telah diatur untuk menguji skuad Speedy Tigers iaitu menentang New Zealand pada 1 Mei dan Korea Selatan (2 Mei) di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah.
Ketua jurulatih skuad negara, Sarjit Singh berkata, pemilihan 18 pemain akan dilakukan selepas berakhir aksi persahabatan pertama bertemu New Zealand pada 1 Mei.
“Seperti saya katakan sebelum ini, setiap pemain ada peluang untuk bersaing merebut tempat dalam senarai 18 pemain dan dua pemain lagi dalam senarai menunggu sekiranya berlaku kecederaan pada saat akhir.
“Mereka (pemain) tahu bukannya senang daripada 30 menjadi sebahagian daripada 18 pemain, saya sendiri berasa susah nak pilih mereka nanti.
“Saya cuma berharap pemilihan pemain yang dibuat oleh saya dan barisan kejuralatihan nanti adalah pilihan yang tepat untuk menghadapi kejohanan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh nanti,” katanya.
Skuad Speedy Tigers akan berada di Ipoh pada 28 April ini untuk memulakan kembali sesi latihan selepas berehat sementara selama dua hari iaitu pada 26 dan 27 April.
Pada saingan Piala Sultan Azlan Shah, selain Korea Selatan dan New Zealand, skuad negara yang tampil selaku juara bertahan akan turut bersaing menentang Kanada, Jepun dan Pakistan.
Daripada 30 pemain yang berada dalam fasa kedua kem latihan negara, empat pemain senior turut berusaha keras bagi merebut tempat dalam senarai 18 pemain terakhir iaitu Fitri Saari, Marhan Jalil, Faizal Saari dan Hafizuddin Othman.
Jelas Sarjit, keempat-empat pemain senior itu perlu menunjukkan prestasi terbaik dalam sesi latihan dan keberadaan mereka dalam pasukan mampu memberi bimbingan terbaik kepada pemain-pemain muda.
“Kita ingin membina pasukan di sekeliling empat (Faizal, Fitri, Hafizuddin dan Marhan) pemain senior ini, mereka boleh membantu pemain-pemain muda ini dengan cara membimbing mereka,” jelasnya.
Selepas saingan di Ipoh, skuad negara akan beraksi di Piala Negara-Negara di Poland bermula 31 Mei sehingga 9 Jun depan.