Penentuan Penalti Shoot-out Sekat Impian Malaysia Ke Final

Hasrat Skuad Hoki Lelaki Bawah 18 (B-18) Tahun Kebangsaan untuk mara ke final tidak kesampaian selepas tewas kepada Pakistan menerusi penentuan penalti shoot-out 4-3 pada aksi separuh akhir Piala Asia Lelaki B-18 di Dazhou, China, hari ini.

 

Pemenang terpaksa ditentukan menerusi penalti shoot-out apabila kedua-dua pasukan terikat 3-3 pada tempoh permainan sebenar.

 

Pada aksi yang berlangsung sengit itu, Pakistan bermula garang apabila meledak dua gol awal menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan oleh Abdullah Awan pada minit ke-5 dan Hassan Shahbaz m-8.

 

Tersentak dengan gol itu, skuad remaja negara bangkit dengan tiga gol menerusi Muhammad Safwan Salihe yang menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-10, m-18 dan m-28.

 

Namun begitu, Pakistan berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-40 hasil gol padang dan kedudukan 3-3 kekal sehingga masa permainan sebenar berakhir.

 

Ketua Jurulatih Skuad Hoki Lelaki B-18 tahun negara, Mohd Sufian Mohamad mengakui semua pemain kecewa kerana tidak dapat layak ke final.

 

Bagaimanapun, secara keseluruhan semua pemain telah menunjukkan semangat juang yang tinggi namun mungkin rezeki tidak memihak kepada Malaysia untuk bermain di pentas final.

 

“Hari ini mungkin tiada rezeki kita, kita bermain di penalti shoot-out tetapi secara keseluruhan saya berpuas hati dengan pemain kerana mereka menunjukkan komitmen dan semangat juang tinggi walaupun ketinggalan dua gol pada awal permainan.

 

“Mereka tidak pernah putus asa sehingga dapat mendahului 3-2 pada suatu ketika sebelum terpaksa akur di penalti shoot-out. Kita nampak pemain begitu kecewa kerana mereka telah berusaha.

 

“Bagi kami ini adalah aksi terbaik yang pernah mereka main, perancangan dan strategi yang teratur. Pemain-pemain ini masih muda tetapi mereka sangat pandai menilai, mengkaji strategi dan saya harap apabila balik nanti mereka akan kekal untuk bermain di peringkat seterusnya,” katanya selepas perlawanan.

 

Malaysia selepas ini, akan berdepan Bangladesh dalam penentuan tempat ketiga dan keempat pada Ahad ini, manakala aksi final antara Pakistan dan Jepun juga berlangsung pada hari yang sama.

 

“Kita akan bertemu Bangladesh di penentuan tempat ketiga dan keempat. Bagi saya Bangladesh juga pasukan yang perlu diberi perhatian, mereka nampak begitu matang. Saya harap kita tidak putus asa dan cuba meraih tempat ketiga di kejohanan ini,” jelasnya.