Membariskan pemain-pemain yang mempunyai pengalaman luas dalam sukan hoki, nyata membantu PDRM dalam memastikan gelaran Juara Kejohanan Hoki 5s Kebangsaan Wanita 2025 Edisi ke-4 menjadi milik mereka buat tahun kedua berturut-turut selepas menewaskan Pahang 5-2 pada perlawanan akhir di Padang 1, Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil.
Pada aksi itu Pahang terlebih dahulu didepan pada minit ketiga menerusi jaringan Nuraini Abdul Rashid namun PDRM bangkit dengan dua gol masing-masing diledak oleh Nor Asfarina Isahyifiqa Isahhidun pada minit kelima dan Fatin Shafika Mahd Sukri (m-12).
Bagaimanapun, Pahang berjaya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian menerusi Wan Nur Syafiqah Syahirah Wan Nordin namun, PDRM tidak berdiam dan memberikan reaksi balas dengan menambah tiga jaringan gol.
Tiga gol tersebut hasil jaringan Norazlin Sumantri pada minit ke-16 dan Nor Asfarina melebarkan jurang bagi gol kedua peribadinya pada minit ke-17 sebelum Norashikin Halim menutup kemenangan bergaya PDRM pada minit ke-18 sekali gus mengesahkan kejuaraan mereka.
Ketua Jurulatih PDRM, Muhammad Razie Abd Rahim berkata pengalaman yang dimiliki barisan pemainnya menjadi kelebihan dalam mengetepikan cabaran Pahang di pentas akhir.
Katanya, selain pengalaman dimiliki setiap pemain, komitmen dan kesungguhan mereka menyaksikan PDRM berjaya menjuarai kejohanan ini.
“Secara keseluruhan saya puji pemain-pemain, dengan apa yang ditunjukkan mereka dalam setiap perlawanan. Semangat, komitmen dan kemahuan yang tinggi untuk menang dapat dilihat dalam setiap perlawanan.
“Setiap pemain yang ada telah menjalankan tanggungjawab dengan baik setiap kali mereka masuk dalam padang.
“Untuk perlawanan akhir, pengalaman dan bijak mengambil peluang yang ada membantu PDRM untuk menang. Mereka lebih tenang dan lebih tersusun semasa membuat serangan berbanding aksi sebelum ini,” kata Razie.