Perak Juara Hoki Lelaki 5 Sebelah

Skuad hoki lelaki 5 sebelah Perak dinobat selaku juara selepas menumbangkan juara bertahan, Pahang 4-1 dalam perlawanan akhir pada Kejohanan Kebangsaan Hoki 5 Sebelah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sebagai pasukan ‘underdog’ memandangkan ini merupakan penyertaan sulung Perak, namun, skuad dari utara tanah air itu mempamerkan persembahan mantap sejak kejohanan bermula lagi.

Anak-anak buah jurulatih, Muhammad Husaini Mohd Husin itu yang hadir ke perlawanan akhir dengan kelebihan psikologi ke atas barisan muda Pahang menyumbat gol pembukan seawal minit ketiga hasil jaringan padang, Mohamad Ashran Hamsani.

Pahang yang tersentak dengan gol tersebut berusaha keras bagi mencari jaringan penyamaan, namun, kekebalan Adrian Andy Albert menyukarkan misi berkenaan selepas beberapa percubaan berbahaya ke pintu gol berjaya diselamatkan penjaga gol Perak itu.

Kealpaan benteng pertahanan Pahang, menyaksikan gawang skuad bimbingan Mohd Sufian Mohamad itu dihukum sebanyak tiga kali menerusi Azmilmuizzuddin Misron (minit ke-12), Mohamad Ashran (minit ke-13) dan Muhammad Fahmi Khalid (minit ke-14).

Ketinggalan 4-0, Pahang akhirnya memperoleh gol sagu hati yang disempurnakan oleh Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini pada minit ke-15.

Husaini ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berkata, kejayaan yang dilakar Perak adalah hasil kerja keras anak-anak buahnya yang mempamerkan dedikasi tinggi sepanjang kejohanan.

“Alhamdulillah kita dapat menjuarai hoki 5 sebelah ini, pujian patut diberi kepada pemain kerana mereka memberikan segala-galanya walaupun ada yang tercedera dan kami tidak cukup pemain.

“Kita pertama kali menyertai kejohanan ini selepas tiga edisi, persiapan pun kami hanya lakukan dua, tiga hari sebelum kejohanan dan saya memang tidak menduga kami berjaya mara sehingga ke perlawanan akhir,” katanya.

Beliau mengakui perjalanan yang terpaksa dilalui skuad bimbingannya tidak mudah dan Pahang selaku juara bertahan mempunyai pengalaman yang lebih dalam hoki 5 sebelah berbanding Perak.

“Perjalanan kami tak begitu mudah, saya sifatkan ini permainan terbaik kami sepanjang kejohanan,” ujarnya yang turut berharap hoki 5 sebelah mampu berkembang dengan baik selepas ini.

Sementara itu, dalam upacara penyampaian hadiah, Terengganu diumumkan sebagai penerima anugerah Fairplay, manakala, pemain mereka, Mohamad Akhimullah Anuar Esook diumumkan sebagai penjaring gol terbanyak dengan 24 gol.

Mohamad Ashran Hamsani pula dinobatkan selaku pemain terbaik perlawanan akhir dan Adrian Andy Albert sebagai penjaga gol terbaik serta pemain Perlis, Muhammad Najmi Farizal Jazlan menerima anugerah pemain terbaik kejohanan.