Skuad Hoki Lelaki Bawah 18 (B-18) tahun negara mengalami kekalahan pertama di saingan Kumpulan B Piala Asia Lelaki B-18 apabila tewas 1-3 kepada Jepun di Dazhou, China, hari ini.
Keputusan itu menyaksikan rekod bersih skuad kendalian Mohd Sufian Mohamad tercalar dan juga tidak berjaya meraih mata selepas memulakan tiga perlawanan sebelum ini dengan cemerlang mengumpul sembilan mata.
Pada aksi itu, skuad remaja negara terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Muhammad Safwan Salihe yang menyudahkan pukulan sudut penalti.
Namun kelebihan itu hanya bertahan selama dua minit apabila Jepun menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti disempurnakan Hiroki Toda.
Pada suku keempat, Jepun menambah dua lagi gol masing-masing menerusi Hiroki Toda yang menyudahkan pukulan sudut penalti pada minit ke-54 dan Fujiwara Yuma menjaringkan gol padang empat minit kemudian.
Meskipun tewas namun pengendali Skuad Hoki Lelaki B-18 tahun negara, Mohd Sufian tetap berpuas hati dengan komitmen dan kesungguhan ditunjukkan anak buahnya pada aksi berdepan Jepun.
“Secara keseluruhan aksi menentang Jepun, saya sangat berpuashati dengan komitmen dan kesungguhan diberikan para pemain. Para pemain telah mengikut perancangan dan strategi yang diatur tetapi mungkin nasib tidak menyebelahi kita.
“Kita ada beberapa peluang yang terhidang di depan gol tetapi kita tidak dapat menjaringkan gol dan saya harap ini boleh dijadikan sebagai pengajaran di peringkat seterusnya,” katanya.
Ketika ini skuad remaja negara berada di kedudukan kedua Kumpulan B dibawah Jepun dan akan turun berdepan Uzbekistan pada Rabu ini.
“Untuk berdepan pasukan Uzbekistan pada Rabu ini, ia adalah perlawanan terakhir dan aksi sangat penting. Kita perlu menang untuk melayakkan diri ke separuh akhir.
“Misi kami adalah layak ke separuh akhir dan kami tidak kisah untuk bertemu pasukan mana di peringkat itu. Paling penting pemain bebas daripada kecederaan, kita akan bangkit pada perlawanan seterusnya,” ujarnya.