Pintu Separuh Akhir Terbuka, Malaysian Tigress Belasah Canada 6-1

Skuad hoki wanita negara bukan sahaja kembali menghidupkan peluang ke separuh akhir Kelayakan Piala Dunia 2026, malah menepati janji untuk bangkit daripada kekecewaan aksi pertama, dengan membelasah Kanada 6-1 dalam aksi kedua Kumpulan B di Santiago, Chile, awal pagi tadi.

 

Pada perlawanan yang berlangsung di Estadio Nacional itu, Malaysian Tigress mempamerkan aksi penuh disiplin dan ketajaman di jentera serangan bagi memastikan tiga mata berharga menjadi milik mereka.

 

Nur Afiqah Syahzani Azhar muncul wira apabila meledak dua gol padang pada minit ke-20 dan ke-28, sekali gus membakar semangat rakan sepasukan untuk terus menekan benteng lawan.

 

Jaringan pembukaan hadir seawal minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Khairunnisa Ayuni Mohd Sharuddin, sebelum Kanada merapatkan jurang dua minit kemudian hasil gol Chloe Walton pada minit ke-11.

 

Bagaimanapun, anak buah Mohd Nasihin Nubli Ibrahim tidak menoleh ke belakang apabil terus mengasak kubu Kanada.

 

Zati Alyani Muhammad Zubir menambah gol ketiga menerusi jaringan padang pada minit ke-36, diikuti dua lagi gol hasil pukulan sudut penalti yang disempurnakan Nuramirah Shakirah Zulkifli (m-39) dan Fatin Shafika Mahd Sukri (m-46).

 

Kemenangan bergaya itu menjadi reaksi terbaik Malaysian Tigress selepas tewas 0-5 kepada Ireland dalam aksi pembukaan, sekali gus membuktikan kemampuan sebenar pasukan apabila tampil lebih tersusun dan agresif.

 

Pengendali skuad wanita negara, Mohd Nasihin memuji kebangkitan serta kematangan yang dipamerkan pemainnya dalam mengawal tempo permainan dan memanfaatkan peluang yang terhidang.

 

“Alhamdullilah…terima kasih kepada barisan kejurulatihan dan pemain yang telah berikan yang terbaik. Ini adalah hasil disiplin tinggi serta taktikal berkesan diterapkan, berbeza semalam (menentang Ireland) namun masih terdapat ruang penambahbaikan lagi.

 

“Walaupun ini perlawanan kedua selepas Sukan SEA tahun lalu, tetapi nampak pemain-pemain cepat matang. Ini juga pencapaian terbaik dan jaringan terbesar kita.

 

“Kita akan rehat sehari sebelum aksi menentang Jepun dan tempoh rehat sangat penting kerana cuaca di sini agak panas. Kami akan gunakan kesempatan ini untuk lihat video pasukan Jepun, mereka merupakan pasukan pilihan namun kita tidak akan berikan laluan mudah dan berikan persembahan lebih baik dari hari ini (menentang Kanada),” katanya selepas perlawanan.

 

Kedudukan semasa, Ireland memimpin Kumpulan B dengan enam mata, manakala Jepun menghuni tangga kedua menerusi kelebihan perbezaan jaringan walaupun berkongsi tiga mata bersama Malaysia manakala Kanada pula masih tanpa mata.

 

Mengikut format pertandingan, dua pasukan terbaik setiap kumpulan akan mara ke separuh akhir.

 

Hanya tiga pasukan terbaik keseluruhan serta satu lagi pasukan keempat terbaik berstatus ranking dunia lebih tinggi daripada kedua-dua pusingan kelayakan akan layak ke Piala Dunia 2026 yang dijadual berlangsung di Belgium dan Belanda dari 14 hingga 30 Ogos ini.

 

Satu lagi saingan kelayakan turut berlangsung di Hyderabad, India, menjadikan perebutan tiket ke pentas dunia semakin sengit dan mencabar.