Empat pasukan iaitu Pulau Pinang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Perak dan Kuala Lumpur (KL) mengisi slot separuh akhir pada Kejohanan Kebangsaan Hoki 5 Sebelah di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.
Dalam aksi peringkat lapan terbaik itu, Pulau Pinang menewaskan Melaka 4-2, manakala, PDRM membenam Pahang 3-1.
Kejayaan kedua-dua pasukan mara ke separuh akhir, menyaksikan PDRM akan bertemu semula skuad Pulau Mutiara itu selepas berada dalam kumpulan sama sewaktu saingan awal Kumpulan C.
PDRM yang melakar kemenangan tipis 3-2 ke atas Pulau Pinang dalam aksi peringkat kumpulan, memiliki kelebihan psikologi untuk mengulangi pencapaian sama.
Namun, bagi Pulau Pinang yang dibimbing Vincey Leo, pertembungan di separuh akhir sudah pasti menjadi peluang terbaik mereka untuk menebus kekalahan di tangan PDRM sebelum ini.
Bagi kapten PDRM, Noor Hasliza Md Ali ketika dihubungi berkata, dia berharap rakan sepasukannya lebih berhati-hati berdepan dengan Pulau Pinang.
“Untuk separuh akhir ini, tiada perubahan yang ketara dari segi taktikal, memandangkan kami pernah berada dalam kumpulan sama dengan Pulau Pinang, kami akan lebih berhati-hati dan mengunakan peluang yang ada sebaik mungkin,” katanya.
Hasliza memberitahu, kemenangan yang dicatat PDRM ke atas Pulau Pinang dalam aksi peringkat kumpulan memberi sedikit keyakinan kepada pasukan.
“Bagi pemain PDRM dengan membawa sedikit keyakinan apabila kami telah menang di peringkat kumpulan adalah bonus, dalam masa sama, kami juga lebih berhati-hati dan fokus di bahagian pertahanan,” ujarnya.
Dalam dua lagi suku akhir, berkesudahan Perak mengalahkan Negeri Sembilan 3-1, manakala, Kuala Lumpur melakar kemenangan 3-2 menerusi penentuan sepakan penalti, selepas diikat Selangor 3-3.
Ini bermakna, Perak akan berdepan Kuala Lumpur dalam satu lagi separuh akhir.
Pasukan dari utara tanah air itu turut memiliki kelebihan psikologi kerana skuad bimbingan G. Sasitheran tersebut telah mencatat kemenangan 6-4 ke atas Kuala Lumpur sewaktu dalam saingan Kumpulan D.