Kejayaan Qnet Phoenix membenam Territory Stingers 3-1 memastikan mereka mara ke separuh akhir Piala Vivian May Soars.
Pada aksi di Padang 2 Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Qnet Phoenix terlebih dahulu dikejutkan dengan jaringan seawal minit ketiga menerusi Naomi Therese Evans yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Kelebihan itu akhir dipadamkan oleh Zati Alyani Muhammad Zubir pada minit ke-37 menerusi gol padang.
Enam minit kemudian, barisan pemain Qnet Phoenix sekali lagi merobek gawang Territory Stingers dan kali ini menerusi penyudah pukulan sudut penalti Nur Syahirah Azwan.
Jaringan ketiga Qnet Phoenix hadir pada minit ke-51 menerusi gol padang Nazatul Umairah Hasaan sekali gus mengesahkan tempat mereka di separuh akhir Piala Vivian May Soars.
Ketua Jurulatih Qnet Phoenix, Lailin Abu Hassan berkata beliau berpuas hati dengan prestasi pemain terutama pada separuh masa kedua dan memuji semangat juang tinggi ditunjukkan anak buahnya yang berusia bawah 21 tahun.
“Secara keseluruhan pemain telah menunjukkan prestasi yang terbaik terutama pada separuh masa kedua, mereka telah menunjukkan semangat juang yang tinggi untuk mencapai kemenangan hari ini.
“Pada mulanya suku pertama dan kedua, mereka agak gugup dan membuat kesilapan yang mudah dan membenarkan pasukan Territory Stingers menjaringkan gol tetapi selepas itu kita menukar strategi, ia berjaya mengubah keputusan permainan.
“Saya puas hati dengan pretasi semua pemain dan mencapai sasaran kita untuk layak ke separuh akhir Piala Vivian May Soars walaupun kita membariskan pemain-pemain bawah 21 tahun, mereka telah menunjukkan walaupun umur muda tetapi dapat bersaingan dengan pemain lebih berpengalaman,” katanya selepas perlawanan.
Dalam kategori Premier, menyaksikan Maybank menang 2-0 ke atas Territory Stingers manakala Liaoning Men’s Hockey Team tewas 1-2 kepada Armed Forces HT.









