Saiful Mahu Pastikan Pasukan Terbaik Ke Piala Dunia Remaja 2025

Ketua Jurulatih Pasukan Hoki Remaja Lelaki Kebangsaan, Nor Saiful Zaini Nasruddin menggariskan beberapa elemen yang menjadi keutamaannya dalam mempersiapkan skuad bimbingannya dalam tempoh enam bulan.

 

Ia merupakan perancangan jangka pendek bagi membentuk pasukan menjelang Piala Dunia 2025 yang dijadualkan pada 28 November hingga 10 Disember di Chennai, India.

 

Jelasnya, barisan pemain sedia ada ketika ini adalah diantara 30 hingga 40 pemain dan mereka ini akan dibentuk daripada segi stamina dan mental.

 

“Perancangan jangka pendek, kita sudah ada lebih kurang 30 hingga 40 pemain. Apa kita kena lakukan adalah tingkatkan tahap stamina dan mental mereka supaya mereka tidak takut bermain dengan pasukan-pasukan lain.

 

“Tentu sekali kita perlukan banyak pendedahan dalam perlawanan sebenar. Ini kita akan buat dalam masa enam bulan sebelum bermain di Piala Dunia 2025.

 

“Di Asia, kita berada di ranking keempat. Sasaran utama saya di Piala Dunia ialah tidak mahu pasukan negara kalah dengan pasukan di bawah ranking kita.

 

“Saya mahu pemain beraksi dengan baik di Piala Dunia Remaja, sebab itulah persiapan untuk kejohanan itu sangat penting. Pasukan perlu beraksi dengan baik menentang lawan yang menduduki ranking di atas kita.

 

“Kalau segala-galanya berjalan dengan baik, kemungkinan saya akan memanggil pemain untuk memulakan latihan seawal minggu depan,” kata Nor Saiful yang sebelum ini pernah membimbing pasukan sama pada 2020.

 

Beliau turut menyedari akan tanggungjawab besar digalasnya apabila menjadi ketua jurulatih skuad remaja negara, namun Nor Saiful sedia menyahut cabaran berkenaan demi memastikan Malaysia mampu mencipta lebih banyak kejayaan di pentas antarabangsa.

 

Pengendali berusia 59 tahun itu yang memiliki pengalaman luas sebagai pemain dan juga bidang kejurulatihan nekad membina lebih banyak kelompok pemain berkualiti bagi menyarung jersi kebangsaan.

 

“Situasi yang saya lihat ketika ini adalah kita memiliki pemain remaja yang sangat bagus dan boleh beraksi dengan baik. Namun mereka cenderung memilih kerjaya lain yang lebih mudah dan menyeronokkan daripada bermain hoki. Situasi ini yang kita nak tengok macam mana kita boleh atasinya.

 

“Sebagai langkah permulaan apa yang saya lihat boleh dilakukan dalam masa tiga tahun ini, kami akan cuba mencari mekanisma terbaik untuk memupuk semangat dan keterujaan dalam diri pemain yang sudah bermain hoki sejak usia 12 hingga 18 tahun agar mereka tidak mudah untuk meninggalkan sukan hoki begitu sahaja.

 

“Kami mahu miliki kelompok pemain lebih besar untuk skuad negara. Kami mahu membentuk pemain-pemain remaja ini supaya mampu diserapkan dalam skuad senior. Ini objektif utama untuk pasukan ini,” jelas legenda hoki negara.