Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini mengumumkan perlantikan bekas pemain kebangsaan, Sarjit Singh sebagai jurulatih kebangsaan skuad hoki negara yang baharu bagi menggantikan A Arul Selvaraj.
Sarjit telah ditawarkan kontrak selama dua tahun untuk mengendali skuad Speedy Tigers dan perkara itu diumumkan oleh Presiden MHC, Dato’ Sri Subahan Kamal selepas Mesyuarat Executive MHC yang berlangsung di sini hari ini.
Subahan berkata, MHC bersama barisan jawatankuasa kejurulatihan yang diketuai oleh Dato’ Majid Manjit Abdullah sebulat suara bersetuju dengan perlantikan tersebut selepas membuat penilaian teliti.
“Perlantikan Sarjit dipersetujui oleh semua jawatankuasa dengan semua ahli memberi input dan pandangan masing-masing sebelum MHC membuat keputusan memilih Sarjit.
“Pemilihan Sarjit adalah berdasarkan beberapa faktor dan saya yakin beliau mampu untuk kembali meletakkan pasukan negara lebih kompetitif dan lebih baik pada masa hadapan.
“MHC akan memberi kepercayaan dan sokongan penuh buat Sarjit mengendalikan skuad negara,” katanya.
Dalam masa sama, tiada sebarang petunjuk prestasi utama (KPI) diletakkan kepada Sarjit buat masa ini.
“Kita perlu berikan beliau masa kerana kejayaan tidak akan berlaku dalam masa satu hari. MHC akan beri peluang untuk Sarjit membentangkan perancangan dan idea.
“Beri beliau ruang untuk selesaikan dulu apa yang patut terutama dalam urusan pemilihan pemain dan kakitangan yang diperlukannya.
“Mungkin dalam masa dua tahun ini keputusan akan dapat dilihat dan MHC percaya dia boleh membawa pemain ke peringkat lebih tinggi,” jelas Subahan.
Sarjit yang kini menjadi jurulatih pasukan negeri Johor, pernah menerajui pasukan kebangsaan pada Januari 2007 hingga Disember 2008.
Bekas pemain antarabangsa itu turut melatih pasukan remaja kebangsaan dari 2004 hingga 2006.
Seramai 23 jurulatih, lima warga tempatan dan 18 warga asing memohon jawatan itu dan 11 Ahli Jawatankuasa Kejurulatihan MHC menyenarai pendek empat calon untuk temu duga.
Tahun ini, Skuad Hoki Senior Lelaki Kebangsaan akan mengharungi tiga pertandingan iaitu Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh (4-11 Mei), Piala Negara-negara di Gniezno, Poland (31 Mei- 9 Jun) dan Piala Juara-Juara Asia, Kota Hulunbuir, Mongolia Dalam (mulai 8-17 September).