Jurulatih Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan, Sarjit Singh, yakin anak-anak buahnya sudah cukup matang untuk menghadapi ujian menentang Pakistan dalam aksi pembukaan Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia 2024 di Hulunbair, Inner Mongolia, China yang bermula, esok.

Sarjit berkata, perlawanan itu merupakan satu pertemuan yang menarik serta Speedy Tigers perlu membuka aksi mereka dengan satu persembahan yang bertenaga dan kemenangan menjadi misi utama Malaysia.

“Persiapan kami pada kejohanan ini berada di landasan yang tepat dan kami mensasarkan untuk memberikan yang terbaik dalam perlawanan itu nanti.

“Para pemain juga sudah pun menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca di sini. Perlawanan persahabatan menentang Korea Selatan, dua hari lalu, amat penting untuk kami dan nampaknya segala yang kami atur berjalan lancar,” katanya.

Speedy Tigers akan berdepan Pakistan pada pukul 3.45 petang, esok, sebelum turun beraksi menentang China, Isnin ini, India pada 11 September, Jepun 12 September dan Korea Selatan 14 September.

Jika skuad negara berjaya mara sehingga ke separuh akhir dan perlawanan akhir mengulangi pencapaian yang mereka lakar tahun lalu, maka, skuad bimbingan Sarjit akan terus beraksi pada 16 serta 17 September ini.

Menurut Sarjit yang merupakan bekas pemain kebangsaan, mana-mana pasukan akan menghadapi kesukaran dalam perlawanan pembukaan.

Jelasnya, para pemain perlu bijak mengawal tempo dan rentak permainan serta mengeluarkan kekuatan sebenar yang mereka miliki.

“Tiada perlawanan yang mudah. Ini merupakan Kejohanan Hoki Juara-Juara Asia dan semua pasukan yang menyertai pertandingan ini bukanlah calang-calang lawan,” ujarnya.

Beliau memberitahu, setiap perlawanan dan kejohanan yang disertai skuad kebangsaan merupakan satu episod baharu yang perlu mereka harungi.

“Saya yakin para pemain sudah cukup matang selepas beraksi pada Piala Sultan Azlan Shah dan Piala Negara-Negara.

“Penyertaan Malaysia pada Jelajah Eropah menentang pasukan yang beraksi pada Sukan Olimpik di Paris merupakan satu pengalaman yang amat berharga.

“Kami berdepan satu cabaran yang cukup sukar dan pendedahan serta pengalaman yang diraih sangat bermanfaat untuk para pemain, kami akan mengharungi kejohanan di Hulunbair satu demi satu, sebelum melangkah lebih jauh,” tegasnya.

Seperti mana lima lagi negara pesaing, Malaysia juga membawa misi sama untuk membentuk sebuah pasukan yang mantap menjelang Piala Asia dan Sukan Asia 2026 di Aichi-Nagoya, Jepun.

Speedy Tigers akan diterajui kapten, Muhammad Marhan Mohd Jalil, Faizal dan Fitri Saari serta beberapa pemain muda yang diberi kepercayaan memperkukuhkan skuad senior bagi mengharungi kejohanan tersebut.

Tags: