Selangor akhirnya meleraikan ‘badi’ final tiga tahun berturut-turut apabila akhirnya menjuarai Kejohanan TNB Piala Tun Abdul Razak kategori wanita bagi edisi kali ini.
Percubaan final kali keempat itu menuai hasil lumayan apabila Selangor bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk mengikat Kuala Lumpur 1-1 sebelum menang 3-2 menerusi penentuan penalti shoot-out di Stadium Hoki Pandamaran (MBDK), Klang, semalam.
Ketua Jurulatih Selangor, Mohd Badrul Hisyam Osman memuji semangat juang tinggi barisan pemainnya yang sama sekali tidak menunjukkan tanda-tanda berputus asa dalam usaha mencari gol penyamaan sepanjang perlawanan.
Baginya, musim pertamanya bersama Selangor tahun ini amat manis kerana berjaya menghadiahkan gelaran yang ditunggu-tunggu pasukan itu sejak kali terakhir mereka bergelar juara pada 2022.
“Pemain berikan segala kudrat yang mereka ada dalam perlawanan ini untuk mendapatkan kemenangan hari ini. Walaupun banyak peluang tetapi mereka tak patah semangat sehinggalah berjaya mendapat gol penyamaan.
“Kita boleh nampak kegembiraan yang teramat daripada pemain sebab kita tahu tahun-tahun kebelakangan ini kita terkandas di naib juara. Hari ini mereka membuktikan mereka selayaknya menjadi juara,” katanya.
Kuala Lumpur membuka tirai jaringan menerusi Soraya Damia Rahimi pada minit ke-17 sebelum Selangor mengikat kedudukan 1-1 hasil jaringan Qumyra Allysyia Iman Mohd Rizal ketika aksi berbaki dua minit lagi untuk tamat.
Di penentuan penalti shoot-out, kegagalan pengambil terakhir Kuala Lumpur, Nur Zafirah Aziz menyudahkan percubaan secara tak langsung memberikan kemenangan 3-2 buat Selangor.
Tiga penjaring Selangor dalam penentuan penalti shoot-out ialah Nur Atirah Mohamad Ismail, Raja Norsharina Raja Shabuddin dan Norazlin Sumantri.
Tempat ketiga kategori wanita pula dimenangi Pahang selepas menewaskan Melaka 5-3 dalam penentuan tempat ketiga dan keempat hari ini.









