Skuad Hoki Lelaki Bawah 18 (B-18) Negara berada di landasan terbaik untuk memburu misi layak ke separuh akhir Piala Asia B-18 di Dazhou, China selepas meneruskan rentak kemenangan.
Pada aksi ketiga Kumpulan B, Taiwan menjadi mangsa seterusnya apabila dibelasah 11-1 oleh anak buah Mohd Sufian Mohamad sekali gus mengumpul sembilan mata dengan mencetak 25 gol dan dibolosi satu.
Pada aksi itu, Safwan Salihe, Muhammad Harith Afi Muhamad Rishamudin, Harieq Hadief Mohd Fariq dan Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien masing-masing menyumbang dua gol.
Manakala, Muhammad Danial Hakeem Abdullah, Muhammad Izz Ilhan Azrul Ridzuan dan Abdul Hamzah Yahkip masing-masing menjaringkan satu gol.
Ketua jurulatih skuad hoki bawah 18 (B-18) negara, Mohd Sufian Mohamad mengakui semua perancangan taktikal dan strategi pasukan dapat diterjemahkan pemainnya dengan baik dalam aksi berdepan Taiwan.
“Syukur alhamdulillah, tiga mata penuh. Bagi perlawanan ketiga, saya tidak menjangkakan kita menjaringkan gol yang banyak pada hari ini.
“Pada sesi rehat semalam (kelmarin) saya mengadakan sesi video dan mengatur strategi untuk tingkatkan barisan penyerang untuk meneliti dan menambah baik cara menjaringkan gol. Hari ini saya sangat memuji pemain mereka dapat menyudahkan peluang yang terhidang dengan tenang,” katanya.
Skuad remaja negara, dijangka berdepan cabaran sebenar esok apabila turun menentang Jepun pada aksi keempat Kumpulan B.
Mohd Sufian mengakui perkara itu namun berharap prestasi sama dapat diteruskan pada perlawanan berdepan Jepun dan menjangkakan pertembungan sengit bakal berlaku.
Katanya, setiap peluang yang bakal diperolehi dalam aksi menentang Jepun perlu dimanfaatkan sebaik mungkin supaya mampu mencipta keputusan positif kelak.
“Untuk perlawanan keempat menentang Jepun, itu adalah perlawanan sebenar yang akan menguji kekuatan dan ketajaman barisan penyerang dan pertahanan pasukan negara.
“Ini kerana saya menjangkakan aksi sengit dengan Jepun dibarisi pemain yang mempunyai tahap kecergasan tinggi dan skil yang bagus. Saya berharap pemain dapat memberi tumpuan dan berjuang habis-habisan bagi memburu kemenangan sekali gus mara ke separuh akhir,” jelasnya.
Terdahulu, skuad B-18 negara membuka tirai kejohanan dengan menewaskan Kazakhstan 4-0 pada Khamis lalu sebelum membelasah Indonesia 10-0 pada keesokan harinya.