Skuad Hoki 5 Sebelah Kebangsaan (5s) tekad menyumbang pingat kepada kontinjen negara menjelang temasya Sukan SEA Thailand, di mana acara berkenaan yang dijadualkan bermula 7 hingga 10 Disember 2025 di Royal Thai Air Force Hockey Field, Bangkok.
Sebanyak empat pasukan bertanding dalam setiap kategori lelaki dan wanita itu Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.
Pasukan lelaki dilihat memiliki peluang terbaik untuk memenangi pingat emas dalam acara itu di Bangkok, susulan mempertaruhkan barisan pemain yang merupakan naib juara di Piala Dunia 5s 2024.
Pengurus pasukan lelaki, Hasnizam Hassan optimis pasukan lelaki mampu menampilkan aksi cemerlang untuk memburu kejuaraan kerana barisan pemain yang mewakili negara mempunyai pengalaman beraksi dalam pertandingan kompetitif sebelum ini.
“Ini kali pertama hoki 5s dipertandingkan di Sukan SEA dan kami perlu melalui proses latihan serta pemilihan yang rapi. Sasaran kami ialah emas untuk pasukan lelaki dan perak bagi wanita.
“Namun, kami optimis pasukan wanita juga mampu menghadirkan kejutan,” katanya ketika sidang media pengumuman skuad lelaki dan wanita, hari ini.
Pemain terbaik 5s negara, Akhimullah Anuar Esook akan mengetuai pasukan lelaki negara bersama-sama Adrian Albert, Mohamad Akmal Yussaini, Muhammad Arif Syafie Ishak, Mohamad Kamarulzaman Kamaruddin, Luqman Nul Hakim Ahmad Shukran, Syarman Mat Tee, Muhammad Abid Sufian Mat Ruslee, Muhammad Muhibuddin Moharam dan Shafiq Ikhmal Daniel Suzaini.
Pencapaian terbaik Malaysia muncul naib juara Piala Dunia 5s 2024 di Muscat, Oman, memberi keyakinan dan meletakkan pasukan negara sebagai pilihan untuk mendominasi acara yang julung kali dipertandingkan di pentas Sukan SEA.
Ketua Jurulatih Skuad Lelaki, Wan Mohd Roslan Wan Abd Rahman mengakui beberapa perlawanan persahabatan sebelum menghadapi Sukan SEA termasuk menentang tuan rumah adalah persediaan terbaik untuk membentuk pasukan negara dalam meningkatkan prestasi serta memperbaiki kelemahan yang ada.
“Thailand dibimbing jurulatih berpengalaman, Megat Azrafiq Megat Termizi yang pernah membawa Malaysia ke Sukan Olimpik Remaja 2018. Jemputan mereka amat membantu pasukan kerana kami dapat menilai kekuatan dan kelemahan lawan selain menyesuaikan diri dengan keadaan padang di sana.
“Setakat maklumat yang saya dapat pasukan Filipina datang ke Thailand atas jemputan tuan rumah dan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan tetapi pasukan itu bukan tandingan Thailand.
“Enam perlawanan dengan Thailand di mana tiga daripadanya adalah aksi ujian yang mempunyai tiga suku permainan dan perlawanan sebenar selepas tiga aksi tersebut. Maksud perlawanan sebenar adalah 15 minit (m), 5m dan 15m. Indonesia pun bersedia tetapi mereka nak bersaing dengan Thailand bukan Malaysia.
“Apa yang saya harap kepada pemain mereka dapat menyerap segala tekanan daripada pemain-pemain lawan di Sukan SEA ini,”kata Wan Mohd Roslan.
Dalam pada itu, skuad wanita pula dibarisi tiga pemain yang pernah beraksi di Piala Dunia 5s 2024 seperti Nurul Safiqah Mat Isa, Dian Nursyakira Najwa Al Qadqa Nazeri dan Nur Shafika Ahmad Kamal.
Ketiga-tiga pemain itu menjadi nadi kepada skuad negara dalam mengemudi cabaran Malaysia bagi merealisasikan sasaran pingat perak.
Jurulatih skuad wanita, Sasitheran Gopalan berkata persiapan pasukannya mengikut perancangan yang direncana.
“Persiapan pasukan wanita mengikut jadual seperti mana dirancang. Kita tidak dapat perlawanan persahabatan tetapi kita dapat satu perlawanan berkualiti kerana kita bekerjasama dengan pasukan hoki padang wanita negara dan hoki lelaki 5s.
“Setiap minggu pemain wanita kita dapat bermain dalam bentuk kejohanan bersama pasukan di sini. Fasa perancangan juga boleh dikatakan hampir lengkap.
“Untuk makluman Thailand berada di atas kita dalam hoki 5s, di mana kita tewas kepada mereka namun itu hanya persiapan selama dua minggu. Kali ini walaupun kita letak sasaran perak tetapi kita cuba ke sasaran lebih tinggi,” jelasnya.
SENARAI PEMAIN DAN BARISAN KEJURULATIHAN LELAKI
| ADRIAN ANDY ALBERT (GK) | |
| MOHAMAD AKMAL YUSSAINI (GK) | |
| MUHAMMAD ARIF SYAFIE ISHAK | SKUAD NAIB JOHAN PIALA DUNIA 2024
(SQUAD YOG) |
| MOHAMAD KAMARULZAMAN KAMARUDDIN | SKUAD NAIB JOHAN PIALA DUNIA 2024
(SQUAD YOG) |
| LUQMAN NUL HAKIM AHMAD SHUKRAN | SKUAD NAIB JOHAN PIALA DUNIA 2024 |
| SYARMAN MAT TEE | SKUAD NAIB JOHAN PIALA DUNIA 2024
(SQUAD YOG) |
| MOHAMAD AKHIMULLAH ANUAR ESOOK | SKUAD NAIB JOHAN PIALA DUNIA 2024
PEMAIN TERBAIK PIALA DUNIA (SQUAD YOG) |
| MUHAMMAD ABID SUFIAN MAT RUSLEE | SKUAD NAIB JOHAN PIALA DUNIA 2024 |
| MUHAMMAD MUHIBUDDIN MOHARAM | (SQUAD YOG) |
| SHAFIQ IKHMAL DANIEL SUZAINI |
| PENGURUSAN DAN KEJURULATIHAN | |
| ERLING WALLACE TAN | PENASIHAT/PENGARAH KEJURULATIHAN |
| HASNIZAM HASSAN | PENGURUS |
| WAN MOHD ROSLAN WAN ABD RAHMAN | JURULATIH |
| TENGKU AHMAD TAJUDDIN TENGKU ABDUL JALIL | PENOLONG JURULATIH |
SENARAI PEMAIN DAN BARISAN KEJURULATIHAN WANITA
| NUR ANIS ERYSHA ZAMRI | |
| NUR QISTINA SYAMIMI MOHAMAD ROSLAN | |
| NURUL SAFIQAH MAT ISA | SQUAD PIALA DUNIA 2024 |
| DIAN NURSYAKIRA NAJWA AL-WADQA NAZERI | SQUAD PIALA DUNIA 2024 |
| NUR SHAFIKA AHMAD KAMIL | SQUAD PIALA DUNIA 2024 |
| HASYA SYAHIDA SAIFUDDIN | |
| WAN NUR SYAFIQAH SYAHIRAH WAN NORDIN | |
| SURIZAN AWANG NOH | |
| NOR ADILAH ABDUL MALIK | |
| NURFATIN DIZANA MOHD ZAIDI |
| PENGURUSAN DAN KEJURULATIHAN | |
| ISMAIL IBRAHIM | PENGURUS |
| SASITHERAN GOPALAN | KETUA JURULATIH |
| LIYANA AQILAH MOHD SEPAWI | JURULATIH |
| NORHAFIZAH ABDUL AZIZ | FISIOTERAPI |
JADUAL PERLAWANAN MELIBATKAN PASUKAN LELAKI
| TARIKH / HARI | MASA (WAKTU MALAYSIA) | PERLAWANAN |
| 7 DIS 25 (AHAD) | 12:00 TENGAH HARI | INDONESIA vs MALAYSIA |
| 7 DIS 25 (AHAD) | 5:00 PETANG | MALAYSIA vs FILIPINA |
| 8 DIS 25 (ISNIN) | 3:00 PETANG | MALAYSIA vs THAILAND |
| 10 DIS 25 (RABU) | 11:00 PAGI | SEPARUH AKHIR 1 |
| 10 DIS 25 (RABU) | 12:00 TENGAH HARI | SEPARUH AKHIR 2 |
| 10 DIS 25 (RABU) | 4:30 PETANG | AKHIR |
JADUAL PERLAWANAN MELIBATKAN PASUKAN WANITA
| TARIKH / HARI | MASA (WAKTU MALAYSIA) | PERLAWANAN |
| 7 DIS 25 (AHAD) | 1:00 PETANG | MALAYSIA vs INDONESIA |
| 8 DIS 25 (ISNIN) | 12:00 TENGAH HARI | MALAYSIA vs FILIPINA |
| 8 DIS 25 (ISNIN) | 4:00 PETANG | THAILAND vs MALAYSIA |
| 10 DIS 25 (RABU) | 1:00 PETANG | SEPARUH AKHIR 1 |
| 10 DIS 25 (RABU) | 2:00 PETANG | SEPARUH AKHIR 2 |
| 10 DIS 25 (RABU) | 5:30 PETANG | AKHIR |









