Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki Dan Wanita Negara Sedia Galas Cabaran Di Thailand

Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, hari ini telah mengumumkan senarai 12 pemain lelaki dan wanita yang akan membawa cabaran Malaysia di Kejohanan Hoki Dalam Dewan, Piala Asia (Lelaki dan Wanita) 2022 di Stadium Tertutup, Huamark, Bangkok, Thailand pada 8 hingga 15 Ogos 2022.

Skuad Lelaki Hoki Dalam Dewan Negara akan dibimbing oleh Ketua Jurulatih, Muhamad Amin Rahim dan dibantu oleh Penolong Jurulatih, Mohamad Hanip Che Halim sementara En. Shurizan Mansor bertindak sebagai Pengurus Pasukan.

Bagi Skuad Wanita Hoki Dalam Dewan Negara pula dibimbing oleh Mohd Rodzhanizam Mat Radzi dan akan dibantu oleh dua Penolong Jurulatih, Mohd Badrul Hisham Osman serta Saiful Azhar Mohd Afandi sementara Puan Rogayah Mohamad bertindak selaku Pengurus Pasukan.

Menerusi senarai pemain yang dikeluarkan, kedua-dua pasukan, Lelaki dan Wanita dilihat mendapatkan khidmat pemain hoki padang untuk memperkuatkan lagi cabaran pasukan di mana pemain-pemain yang disenaraikan juga mempunyai pengalaman dalam permainan Hoki Dalam Dewan serta pernah beraksi untuk Malaysia dalam kejohanan Hoki Dalam Dewan Piala Asia 2019 serta Sukan SEA 2019 (Hoki Dalam Dewan).

Pengerusi Jawatankuasa Hoki Dalam Dewan dan Akademi Hoki Raja Ashman Shah, En. Shurizan Mansor, menjelaskan walaupun kejohanan edisi 2022 tidak menawarkan slot ke Piala Dunia Hoki Dalam Dewan, namun barisan pemain lelaki dan wanita negara akan memberikan cabaran terbaik kepada semua pasukan dan meletakkan sasaran untuk mara ke pusingan separuh akhir terlebih dahulu.

“Walaupun sehingga kini, Persekutuan Hoki Asia (AHF) masih belum menetapkan jadual pertandingan dan format yang akan digunakan, pasukan lelaki dan wanita akan sentiasa bersedia dengan sebarang kemungkinan.

“Pada edisi 2019, di Thailand juga, Skuad Lelaki Negara menamatkan kejohanan di kedudukan ketiga sementara Skuad Wanita Negara di kedudukan keempat.

“Untuk edisi kali ini, KHM telah menetapkan sasaran untuk kedua-dua pasukan mara ke pusingan separuh akhir. Selepas melepasi sasaran yang pertama, kami akan menetapkan sasaran yang lebih tinggi serta lebih baik,” jelas beliau dalam sidang media yang berlangsung di Pejabat KHM, hari ini.

Berikut merupakan senarai 12 pemain Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita negara yang akan menggalas tugas di Bangkok, Thailand.

 

LELAKI

NO NAMA POSISI
1 MOHD KHAIRUL AFENDY BIN KAMARUZAMAN PENJAGA GOL
2 MOHAMAD HAZRUL FAIZ BIN AHMAD SOBRI PENJAGA GOL
3 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL BIN JAZLAN PERTAHANAN
4 RAZALI BIN MOHD HAZEMI PERTAHANAN
5 MUHAMMAD ASLAM BIN MOHAMED HANAFIAH PERTAHANAN
6 MOHD NORHAFIZIE BIN JAMIL AZOMI PERTAHANAN
7 FARIDZUL AFIQ BIN MOHD TENGAH
8 MUHAMMAD FIRDAUS BIN OMAR TENGAH
9 NORSYAFIQ BIN SUMANTRI PENYERANG
10 MUHAMMAD ASHRAN BIN HAMSANI PENYERANG
11 SHELLO SILVERIUS PENYERANG
12 MUHAMAD IZHAM BIN AZHAR PENYERANG

 

WANITA

NO NAMA POSISI
1 FARAH AYUNI BINTI YAHYA PENJAGA GOL
2 NUR HAZLINDA BINTI ZAINAL ABIDIN PENJAGA GOL
3 JULIANI BINTI MOHAMAD DIN PERTAHANAN
4 NURAINI BINTI ABDUL RASHID PERTAHANAN
5 NUR SYUHADA BINTI SUHAIMI PERTAHANAN
6 NUR AISYAH BINTI YAACOB PERTAHANAN
7 RAJA NORSHARINA  BINTI RAJA SHABUDDIN TENGAH
8 FATIN SHAFIKA BINTI MOHD SUKRI TENGAH
9 IREN BINTI HUSSIN PENYERANG
10 PUTRI NUR BATRISYIA BINTI NOR NAWAWI PENYERANG
11 QASIDAH NAJWA BINTI MUHAMMAD HALIMI PENYERANG
12 FAZILLA BINTI SYLVESTER SILIN PENYERANG