Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki, Wanita Kekalkan Momentum Kemenangan

Skuad hoki dalam dewan lelaki dan wanita kebangsaan meneruskan momentum kemenangan masing-masing pada aksi kedua pusingan round robin Sukan SEA Thailand 2025, di Wet 1 Hall Thai-Japan Sports Center.

 

Dalam aksi membabitkan pasukan lelaki, Malaysia dipaksa bekerja keras sebelum menewaskan Indonesia 5-4 dalam perlawanan penuh dramatik, biarpun dikejutkan dengan jaringan awal lawan seawal minit kelima.

 

Indonesia terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi pukulan sudut penalti (PC) oleh Adi Leksono, namun kebangkitan pantas Malaysia menyaksikan mereka menyamakan kedudukan pada minit ke-10 hasil jaringan padang Muhamad Izham Azhar.

 

Skuad kendalian Amin Rahim terus menguasai perlawanan apabila Shahmie Irfan Suhaimi dan Faridzul Afiq Mohd masing-masing meledak jaringan pada minit ke-17, 19 dan 26 untuk meletakkan Malaysia di hadapan 4-1 sebelum Indonesia merapatkan jurang menerusi gol Muhamad Alfiana, menjadikan kedudukan 4-2.

 

Malaysia kembali memperkukuh kelebihan apabila Muhamad Izham Azhar menyempurnakan penalti stroke (PS) pada minit ke-34, namun Indonesia terus memberi tentangan dengan dua lagi gol sebelum tamat perlawanan hasil jaringan Muhamad Alfiana dan Muhammad Firdaus.

 

Mengulas kemenangan itu, Amin Rahim bersyukur skuadnya berjaya meraih tiga mata penuh seperti yang diharapkan, sambil memuji komitmen pemain yang mempamerkan disiplin tinggi dan mematuhi perancangan permainan.

 

“Alhamdulillah, kredit kepada pemain kerana menunjukkan prestasi yang baik dan mengikut pelan yang dirancang. Namun, pemain perlu mengenal pasti kesilapan yang dilakukan, terutamanya selepas membenarkan lawan menjaringkan empat gol.

 

“Yang paling penting pemain-pemain kena sedar dan kenalpasti kesilapan dilakukan selepas membenarkan lawan menjaringkan empat gol pada hari ini.

 

“Menjelang perlawanan lawan Singapura esok, kita sudah bermain dengan mereka beberapa kali di Kuala Lumpur dan tentu kita tahu kelemahan dan kekuatan mereka.

 

“Paling penting pemain-pemain kena cukup proses pemulihan dan berehat dengan betul kerana perlawanan ‘back to back’ selepas Singapura kita akan menentang Thailand, seterusnya separuh akhir dan pada Jumaat perlawanan akhir,” katanya selepas perlawanan.

 

Sementara itu, skuad hoki dalam dewan wanita negara turut mengekalkan rentak kemenangan apabila menewaskan Filipina 2-1 pada perlawanan kedua pusingan round robin, di venue sama.

 

Malaysia membuka jaringan menerusi Norshafiqha Ishak pada minit ke-7 sebelum Nor Asfarina Isahiyifiqa Isahhidun menggandakan kelebihan melalui PC pada minit ke-21 namun Filipina merapatkan jurang hasil jaringan Jaylene Lumbo(m-30).

 

Ketua jurulatih skuad wanita negara, Rodzhanizam Mat Radzi mengakui walaupun kemenangan memihak kepada pasukan negara namun ia tidak disertai dengan prestasi terbaik, selain menyifatkan anak buahnya melakukan banyak kesilapan.

 

Rodzhanizam berharap pemain dapat bangkit dan memperkemaskan permainan menjelang aksi menentang Indonesia, selain mengingatkan agar kesilapan sama tidak diulangi.

 

“Secara keseluruhan kita menang 2-1 dengan Filipina tetapi daripada segi permainan tidak sampai kepada tahap sepatutnya yang saya inginkan pada hari ini dan banyak kesilapan-kesilapan yang dilakukan oleh pemain.

 

“Mungkin pasukan Filipina bermain dengan baik tetapi kita pula tidak bermain dengan baik sebagai satu pasukan. Jadi kita harap pemain-pemain dapat bangkit semula dan banyak benda kita kena perbaiki dan tingkatkan menjelang aksi esok berdepan Indonesia.

 

“Pemain perlu tahu apa perlu buat selepas ini, ikut apa yang kita rancang dan pemain bermain mengikut perancangan maka tiada masalah untuk kita menang dengan Indonesia. Jangan ulang kesilapan-kesilapan yang kita lakukan pada hari ini,” kata Rodzhanizam.