Skuad Hoki Dalam Dewan Negara Tekad Rampas Semula Emas di Bangkok

Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita negara kini berada pada fasa akhir persiapan menjelang cabaran Sukan SEA Thailand 2025, yang dijadualkan berlangsung dari 13 hingga 19 Disember ini di Wet 1 Hall, Thai–Japan Sports Center, Bangkok.

 

Kedua-dua pasukan bakal turun dengan misi besar merampas semula pingat emas yang terlepas pada edisi lalu. Bagi kategori lelaki, Malaysia akan berdepan cabaran daripada Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina.

 

Anak buah Mohamad Amin Rahim akan memulakan kempen menentang Filipina pada 14 Disember, sebelum bertemu Indonesia (15 Disember), Singapura (16 Disember) dan Thailand (17 Disember).

 

Ketua jurulatih, Amin Rahim, berkata hampir separuh pemain yang beraksi pada Sukan SEA 2023 dikekalkan, selain majoriti merupakan pemain yang turut membawa cabaran di Piala Dunia Hoki Dalam Dewan 2024 di Croatia.

 

Katanya, pengalaman itu memberi kelebihan buat pasukan negara namun tetap sedar bahawa cabaran besar menanti.

 

“Mereka masih dihantui kekalahan kepada Indonesia pada edisi lalu, tetapi pada masa sama, pemain sangat bersemangat untuk merampas kembali pingat emas yang hilang. Kami tidak mahu meletakkan tekanan berlebihan kerana fokus adalah kepada permainan berkualiti,” katanya.

 

Menurut Amin Rahim, status underdog kali ini bukan sesuatu yang merugikan apabila tekanan lebih terarah kepada juara bertahan.

 

“Kadang-kadang bagus berada dalam situasi itu. Pemain kami sangat teruja untuk turun ke gelanggang dan kami percaya mereka akan memberikan segalanya untuk membawa pulang emas,” ujarnya.

 

Beliau turut memberi gambaran positif mengenai persiapan skuad negara yang berada pada tahap terbaik selepas menjalani siri jelajah di Republik Czech baru-baru ini.

 

“Banyak yang kami pelajari di sana dan keyakinan pemain bertambah. Namun kami tidak akan memandang rendah mana-mana lawan. Setiap perlawanan akan kami hadapi dengan semangat dan jati diri tinggi,” jelas Amin Rahim.

 

Sementara itu, kategori wanita turut menyaksikan saingan lima negara melibatkan Malaysia, Thailand, Indonesia, Singapura dan Filipina.

 

Malaysia akan memulakan kempen menentang Singapura pada Sabtu ini, sebelum bertemu Filipina (15 Disember), Indonesia (16 Disember) dan menutup saingan kumpulan menentang Thailand.

 

Ketua Jurulatih Wanita, Mohd Rodzhanizam Mat Radzi, menjelaskan bahawa 70 hingga 80 peratus pemain daripada skuad Sukan SEA terdahulu dikekalkan bagi mengekalkan kesinambungan permainan.

 

Mengulas pandangan bahawa Malaysia antara pencabar utama emas, beliau berkata pengiktirafan itu membuktikan skuad negara masih berada pada tahap kompetitif. Tegas Rodzhanizam, misi utama pasukan adalah merampas kembali pingat emas yang dimenangi juara sebelum ini.

 

“Skuad kali ini turut menyerapkan pemain baharu yang dipilih berdasarkan prestasi semasa dan kemampuan memberi nilai tambah kepada pasukan. Namun ia tidak mengubah pendekatan kami. Fokus tetap pada persiapan rapi dan memastikan setiap pemain berada pada tahap optimum.

 

“Tekanan itu wujud, tetapi kami jadikan ia motivasi. Kami menekankan struktur permainan mantap, disiplin tinggi dan persiapan taktikal yang teratur. Dengan komitmen semua pihak, kami yakin sasaran boleh dicapai,” katanya.

 

Beliau turut menilai setiap lawan mempunyai kelebihan tersendiri, terutama Thailand yang terkenal dengan intensiti permainan tinggi.

 

“Indonesia juga menunjukkan peningkatan ketara, manakala Filipina kini lebih kompetitif. Kami menghormati semua lawan dan akan turun dengan strategi rapi,” ujarnya.

 

Saingan separuh akhir bagi kedua-dua kategori akan berlangsung pada 18 Disember, manakala pentas final dijadualkan pada 19 Disember untuk menentukan pemilik pingat emas.

 

Berikut merupakan senarai 12 pemain lelaki dan wanita yang menggalas tugas untuk membawa cabaran Malaysia memburu pingat emas Sukan SEA 2025.

NO NAMA POSISI
SKUAD HOKI DALAM DEWAN LELAKI
1 MOHAMAD HAZRUL FAIZ AHMAD SOBRI PENJAGA GOL
2 MUHAMMAD HAMIZ MOHD AHIR
3 MUHAMMAD NAJMI FARIZAL JAZLAN PERTAHANAN
4 MUHAMMAD ASLAM MOHAMED HANAFIAH
5 SHAZRIL IRWAN NAZLI
6 MUHAMMAD FIRDAUS OMAR
7 MUHAMAD IZHAM AZHAR TENGAH
8 ABDUL KHALIQ HAMIRIN
9 MOHAMAD ASHRAN HAMSANI PENYERANG
10 SHAHMIE IRFAN SUHAIMI
11 MEOR MUHAMAD AZUAN HASAN
12 FARIDZUL AFIQ MOHD
SKUAD HOKI DALAM DEWAN WANITA
1 FARAH AYUNI YAHYA PENJAGA GOL
2 FITRINUR AMIERA RAMLEE
3 LT NUR AISYAH YAACOB PERTAHANAN
4 PUTRI NUR BATRISYIA NOR NAWAWI
5 NOR ASFARINA ISAHIYIFIQA ISAHHIDUN
6 NORHASIKIN HALIM
7 RAJA NORSHARINA RAJA SHABUDDIN TENGAH
8 NURASLINDA SAID
9 NUR ATIRA MOHAMAD ISMAIL PENYERANG
10 FAZILLA SYLVESTER SILIN
11 IREN HUSSIN
12 NORSHAFIQHA ISHAK

Berikut merupakan barisan pengurusan dan kejurulatihan yang akan bersama Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Negara

NO NAMA JAWATAN
BARISAN KEJURULATIHAN DAN PENGURUSAN LELAKI
1 SHURIZAN MANSOR PENGURUS PASUKAN
2 MUHAMAD AMIN RAHIM KETUA JURULATIH
3 MOHD HANIP CHE HALIM PENOLONG JURULATIH
4 SAIFUL AZHAR MOHD AFENDI JURULATIH PENJAGA GOL
BARISAN KEJURULATIHAN DAN PENGURUSAN WANITA
1 YUWANA ABDUL RAHMAN PENGURUS PASUKAN
2 MOHD RODZHANIZAM MAT RADZI KETUA JURULATIH
3 MOHD BADRUL HISHAM OSMAN PENOLONG JURULATIH
4 MOHD KHAIRUL AFENDY KAMARUZAMAN JURULATIH PENJAGA GOL

Berikut merupakan jadual pusingan kumpulan melibatkan pasukan Malaysia dan jadual perlawanan pusingan kedua.

TARIKH / HARI MASA (WAKTU MALAYSIA) PERLAWANAN
PERLAWANAN PASUKAN LELAKI
14 DIS 25 / AHAD 3:30 PETANG MALAYSIA lwn FILIPINA
15 DIS 25 / ISNIN 6:30 PETANG INDONESIA lwn MALAYSIA
16 DIS 25 / SELASA 3:30 PETANG MALAYSIA lwn SINGAPURA
17 DIS 25 / RABU 6:30 PETANG THAILAND lwn MALAYSIA
18 DIS 25 / KHAMIS 3:30 PETANG SEPARUH AKHIR 1
6:30 PETANG SEPARUH AKHIR 2
19 DIS 25 / JUMAAT 4:30 PETANG PEREBUTAN PINGAT EMAS
PERLAWANAN PASUKAN WANITA
13 DIS 25 / SABTU 3:30 PETANG MALAYSIA lwn SINGAPURA
15 DIS 25 / ISNIN 5:00 PETANG FILIPINA lwn MALAYSIA
16 DIS 25 / SELASA 5:00 PETANG MALAYSIA lwn INDONESIA
17 DIS 25 / RABU 8:00 MALAM MALAYSIA lwn THAILAND
18 DIS 25 / KHAMIS 5:00 PETANG SEPARUH AKHIR 1
8:00 MALAM SEPARUH AKHIR 2
19 DIS 25 / JUMAAT 5:30 PETANG PEREBUTAN PINGAT EMAS