The Speedy Tigers hampir mengejutkan New Zealand sebelum terpaksa menelan hakikat tewas 4-3 kepada pasukan di ranking ke-11 dunia itu pada aksi kedua Kumpulan B Kejohanan FIH Piala Negara-Negara 2024-25 di Padang 1, Stadium Hoki Nasional.
Ia merupakan kekalahan pertama Skuad Hoki Lelaki Kebangsaan di kejohanan edisi ketiga, untuk berada di tangga ketiga kumpulan manakala New Zealand dan Pakistan masing-masing berada dikedudukan teratas dan kedua.
Pada aksi itu di suku pertama, Malaysia memiliki dua peluang terbaik untuk menghasilkan gol menerusi percubaan Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-6 yang singgah di tiang dan juga pukulan sudut penalti Syed Syafiq Syed Cholan (m-9) sedikit tersasar.
Gol yang ditunggu-tunggu Speedy Tigers akhirnya hadir pada minit ke-17 menerusi gerakan cantik bermula dari bawah sebelum disudahkan oleh Akhimullah Anuar Esook untuk meletakkan Malaysia mendahului 1-0.
Malah, aksi cemerlang penjaga gol negara, Hafizuddin Othman menafikan deretan percubaan jentera serangan New Zealand memastikan gawangnya tidak dirobek pada suku pertama dan kedua.
Bermula suku ketiga, Malaysia bermula garang dengan menambah dua lagi gol masing-masing menerusi Fitri Saari yang menyempurnakan penalti stroke pada minit ke-38 dan Azrai Aizad hasil gol padang minit ke-39 untuk meletakkan skuad negara yang berada di ranking ke-13 dunia selesa mendahului 3-0.
Namun, The Black Sticks bangkit dengan dua gol pantas menerusi Finn Ward pada minit ke-43 hasil gol padang dan kemudian Simon Yorston menyudahkan pukulan sudut penalti.
New Zealand terus mengasak benteng skuad negara dan hasilnya mereka menjaringkan dua gol lagi masing-masing menerusi Sean Findlay pada minit ke-46 serta Ward (m-52) yang merupakan gol kemenangan buat Black Sticks sekali gus mengesahkan tempat ke separuh akhir.
Skuad negara akan turun pada aksi terakhir Kumpulan B pada Rabu ini berdepan Jepun pada pukul 8 malam manakala Pakistan membuat perhitungan dengan New Zealand.









