Skuad Hoki Remaja Negara Bermula Langkah Kiri Di SOJC 2025

Skuad Hoki Remaja Negara membuka kempen Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2025 dengan langkah kiri selepas tewas 2-7 di tangan Pakistan dalam aksi pertama kejohanan itu, di Stadium Hoki Johor, Taman Daya.

 

Keputusan tersebut semestinya tidak dimahukan Malaysia namun pengendali Young Tigers, Nor Saiful Zaini Nasiruddin optimis anak buahnya akan bangkit pada perlawanan seterusnya.

 

Beliau berkata para pemain masih belum mencapai tahap terbaik untuk bermain secara terbuka seperti yang diterap oleh kebanyakkan pasukan gergasi dunia pada era moden ini.

 

Nor Saiful mengakui para pemain Pakistan memiliki kemahiran individu yang tinggi dan mampu mengawal bola dengan sangat baik.

 

“Kita cuba bermain secara terbuka seperti taktikal hoki moden ketika ini. Namun para pemain masih belum mampu. Kita tidak boleh bertahan menunggu bola, sebaliknya perlu naik ke atas mencari gol.

 

“Situasi ini menyebabkan pasukan lawan melakukan serangan balas pantas dan ia menghukum benteng pertahanan kita. Pukulan sudut penalti pasukan lawan juga amat baik.

 

“Kita ada peluang, bukan tiada, tetapi tidak dapat diterjemahkan dengan jaringan,” katanya.

 

Pada aksi itu, Malaysia dikejutkan dengan gol awal Pakistan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Sufyan Khan pada minit ketiga namun skuad Young Tigers bangkit mengikat kedudukan pada minit ke-20 hasil pukulan sudut penalti Ammar Qusyairi Abd Halim.

 

Namun kegembiraan penyokong pasukan tuan rumah tidak kekal lama apabila Pakistan kembali di depan seminit kemudian sekali lagi menerusi Sufyan.

 

Pakistan menambah jaringan menerusi Hannan Shahid menerusi gol padang pada minit ke-30 dan berselang dua minit Nadeem Khan menyempurnakan pukulan sudut penalti, disusuli gol Sufyan untuk mencatat hatrik pada minit ke-34.

 

Berselang seminit, skuad Young Tigers merapatkan jurang gol menerusi ledakan Azimuddin Kamaruddin melalui pukulan sudut penalti untuk merapatkan jurang jaringan 2-5.

 

Pakistan menambah gol keenam menerusi Nadeem pada minit ke-44 dan jaringan ketujuh hasil gol padang Fayyaz Hamza pada minit ke-52.

 

Esok, skuad Young Tigers akan berdepan Australia pada jam 6.15 petang.

 

Untuk rekod, Malaysia merupakan juara sulung kejohanan bawah 21 tahun (B-21) itu ketika menewaskan Australia 3-2 dalam aksi final edisi pertama pada tahun 2011.