Skuad hoki remaja negara bersiap sedia memulakan cabaran dalam Kejohanan Hoki Antarabangsa Bawah 21 Tahun, Piala Sultan Johor (SOJC) 2025, yang akan berlangsung dari 11 hingga 18 Oktober ini di Stadium Hoki Taman Daya, Johor Bahru.
Malaysia dijadual membuka tirai saingan menentang Pakistan pada perlawanan pertama, sebelum berdepan Australia (12 Oktober), New Zealand (14 Oktober), Great Britain (15 Oktober) dan India (17 Oktober) dalam aksi peringkat kumpulan.
Kejohanan edisi ke-13 itu menyaksikan penyertaan enam negara termasuk Malaysia selaku tuan rumah, di samping Great Britain (juara bertahan), Australia (naib juara tahun lalu), India, New Zealand dan Pakistan, yang akan bersaing merebut gelaran berprestij tersebut.
Pengurus Pasukan Remaja Lelaki Kebangsaan, En. Selvendran Saravanamuthu berkata kejohanan SOJC merupakan pentas penting dalam persiapan menuju ke Piala Dunia Remaja di India, memandangkan semua pasukan yang mengambil bahagian di Johor turut akan beraksi di kejohanan dunia itu.
“SOJC sangat penting untuk hala tuju pasukan ke Piala Dunia Remaja kerana ia satu-satunya kejohanan antarabangsa bawah 21 tahun yang menghimpunkan pasukan-pasukan antarabangsa.
“Pasukan ini telah menerima pendedahan dengan sebaiknya di mana sebelum SOJC bermula, mereka telah ke China pada bulan Mei, kemudian sertai Kejohanan Hoki Piala Emas MCC Murugappa All India edisi ke-96 di India seterusnya pada Ogos mereka menjalani siri jelajah persahabatan di Australia.
“Latihan pendedahan mereka turut bersambung pada September apabila sekali lagi ke China, menjalani aksi persahabatan bersama pasukan Liaoning dan persiapan terakhir adalah aksi persahabatan menentang Bangladesh baru-baru ini. Jadi dari sudut pendedahan dan persiapan, pasukan ini telah dipersiapkan dengan sebaiknya.
“Tentu kami barisan kejurulatihan dan pengurusan berharap pasukan ini mampu memberikan saingan terbaik dan melangkah sejauh yang boleh pada kejohanan kali ini,” jelas beliau.
Sementara itu, Ketua jurulatih skuad hoki remaja negara Nor Saiful Zaini Nasiruddin, menegaskan fokus pasukan bukan hanya kepada keputusan, sebaliknya kepada peningkatan prestasi menyeluruh pemain.
Bagaimanapun, beliau meletakkan sasaran untuk pasukannya mengakhiri saingan SOJC dikedudukan podium dan berharap semua pemain mampu menunjukkan prestasi terbaik dalam kejohanan ini.
“Saya tidak meletakkan tekanan kepada pemain kerana beraksi di tempat sendiri. Tumpuan kami adalah terhadap prestasi, disiplin dan konsistensi pasukan di sepanjang kejohanan.
“Sasaran kami ialah untuk berada di podium. Ia bukan sesuatu yang mudah, namun cita-cita tinggi amat penting untuk membentuk pasukan yang positif dan berdaya saing.
“Saya mahu pemain keluar daripada kelompok pasukan biasa dan membuktikan mereka mampu bersaing dengan mana-mana pasukan. Kunci kejayaan ialah keyakinan diri, mengelak kesilapan dan memanfaatkan peluang menjaringkan gol,” ujarnya.
Bagi edisi kali ini, seramai lima pemain berusia 21 tahun disenaraikan dalam skuad akhir iaitu Muhammad Danish Aiman Khairil Anuar, Muhammad Addy Jazmi Jamlus, Muhammad Handzalah Abdul Hadi, Mohammad Harris Iskandar Osman dan Yashvindraa Singaravadivel.
Sembilan pemain yang pernah beraksi dalam SOJC edisi lalu turut dikekalkan termasuk Muhammad Aqil Danial Mat Ruslee, Azimuddin Syakir Kamaruddin, Muhammad Nabil Irfan Mohd Yusof, Andywalfian Jeffrynus, Muhammad Adam Ashraf Mohd Johari serta Naaveennash Panicker Thevendran, selain beberapa muka baharu yang menonjol.
Dua pemain paling muda, Iman Faris Faizo dan Rahuul Fazrien Muhammad Nazrien, menjadi antara tumpuan kali ini selepas menunjukkan potensi besar sepanjang sesi latihan serta aksi pemanas badan.
Nor Saiful menjelaskan, pemilihan pemain dilakukan berdasarkan keupayaan mereka menyesuaikan diri dalam pasukan, semangat kesungguhan dan disiplin tinggi di dalam serta luar padang.
Beliau optimis anak buahnya kali ini mampu mempamerkan sesuatu yang positif menjelang Piala Dunia Remaja di India.
Dengan gabungan tenaga muda dan berpengalaman, skuad remaja negara kini di landasan terbaik untuk mencipta detik manis di bumi Johor, gelanggang yang sering menjadi antara pentas kelahiran bintang masa depan hoki Malaysia.
Untuk rekod, Malaysia merupakan juara sulung kejohanan yang diperkenalkan pada tahun 2011 itu selain muncul naib juara pada tahun 2013, tempat ketiga pada edisi 2015 dan 2019 serta dikedudukan keempat pada 2017. Bagi edisi tahun lalu (2024), Malaysia menamatkan kempen kejohanan di kedudukan keenam.
Senarai 20 Pemain Yang Membawa Cabaran Malaysia di Kejohanan Piala Sultan Joho 2025
| No | Nama | Posisi |
| 1 | Haziq Muizuddin B Hairul Mizan | Penjaga Gol |
| 2 | Muaz Bashir B Shabri | |
| 3 | Andywalfian Jeffrynus | Pertahanan |
| 4 | Azimuddin Shakir B Kamaruddin | |
| 5 | Shafiq Adam Harris B Suzaini | |
| 6 | Muhammad Nabil Irfan B Mohd Yusof | |
| 7 | Muhammad Aqil Danial B Mat Ruslee | |
| 8 | Iman Faris B Faizo | |
| 9 | Muhammad Adam Asyraf B Mohd Johari | Tengah |
| 10 | Muhammad Handzalah B Abdul Hadi | |
| 11 | Muhammad Addy Jazmi B Jamlus | |
| 12 | Muhammad Atif Aqil B Zubir | |
| 13 | Yashvindraa A/L Singaravadivel | |
| 14 | Ammar Qusyairi B Abd Halim | |
| 15 | Muhammad Danish Aiman B Khairul Anuar | Penyerang |
| 16 | Naaveennesh A/L Panicker | |
| 17 | Muhammad Harris Iskandar B Osman | |
| 18 | Muhammad Haziq Zunnurain B Mohd Azhary | |
| 19 | Rahul Fazrien B Muhammad | |
| 20 | Muhammad Danish Irfan B Muhammad Saufi |
Senarai Barisan Kejurulatihan Dan Pengurusan Pasukan Ke Piala Sultan Johor 2025
| 1 | Selvendran Saravanamuthu | Pengurus Pasukan |
| 2 | Nor Saiful Zaini Bin Nasiruddin | Ketua Jurulatih |
| 3 | Muhammad Fahmi Bin Khalid | Penolong Pengurus Pasukan |
| 4 | Mohd Madzli Ikmar Bin Mohd Nor | Penolong Jurulatih |
| 5 | Kaliswaran A/L Muniandy | Penolong Jurulatih |
| 6 | Mohammad Hairi Bin Abd Rahman | Jurulatih Penjaga Gol |
| 7 | Dervan A/L V.R Ramachandran | Fisioterapi |
| 8 | Ammar Danial Bin Rahmat | Masseur |
| 9 | Mohd Hanafi Bin Hasssan | Video Analisa |
Berikut merupakan jadual perlawanan melibatkan aksi Young Tigers di Kejohanan Piala Sultan Johor 2025
| NO | TARIKH | HARI | MASA | LAWAN |
| 1 | 11 OKT 25 | SABTU | 6:15 PETANG | PAKISTAN lwn MALAYSIA |
| 2 | 12 OKT 25 | AHAD | 6:15 PETANG | AUSTRALIA lwn MALAYSIA |
| 3 | 14 OKT 25 | SELASA | 6:15 PETANG | MALAYSIA lwn NEW ZEALAND |
| 4 | 15 OKT 25 | RABU | 6:15 PETANG | MALAYSIA lwn GREAT BRITAIN |
| 5 | 17 OKT 25 | JUMAAT | 4:05 PETANG | INDIA lwn MALAYSIA |









