Skuad Hoki Wanita 5′ Buka Saingan Sukan SEA 2025 Dengan Kemenangan

Skuad Hoki 5 sebelah (5′) Wanita Kebangsaan bangkit mencipta kemenangan pada saingan Sukan SEA 2025 Thailand selepas menewaskan Indonesia 5-3 pada aksi pertama kumpulan, hari ini.

 

Pada aksi yang berlangsung di Royal Thai Air Force Hockey Field, Bangkok itu, Malaysia terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal Indonesia pada minit ke-2 menerusi jaringan padang Asri Dewi Prasasti namun skuad negara pantas bangkit menyamakan kedudukan seminit kemudian menerusi Wan Nur Syafiqah Syahirah Wan Nordin.

 

Empat minit kemudian, Indonesia sekali lagi didepan, kali ini giliran Nisa Indira menerusi gol padang.

 

Tersentak dengan gol itu, Malaysia bangkit dengan tiga jaringan padang masing-masing menerusi Wan Nur Syafiqah pada minit ke-9, Dian Nursyakira Najwa Al-Wadqa Nazeri (m-12) dan Nor Adilah Abdul Malik (m-23).

 

Indonesia merapatkan jurang pada minit ke-25 hasil ledakan gol padang Nisa Indira untuk kedudukan 4-3, namun Hasya Syahida Saifuddin kembali menjarakkan defesit gol apabila mencetak nama sebagai penjaring terakhir buat Malaysia pada minit ke-27.

 

Ketua Jurulatih Hoki 5s Wanita, G Sasitheran secara keseluruhan berpuas hati dengan semangat juang ditunjukkan anak buahnya yang bangkit meraih kemenangan walaupun ketinggalan dua kali.

 

Jelasnya, pemain-pemainnya masih belum mencapai tahap sebenarnya permainan mereka dan beliau berharap aksi seterusnya prestasi dan tempo permainan dapat dipertingkatkan.

 

“Hari ini kita dapat kemenangan pertama kita dengan Indonesia cuma permainan tadi apa yang kita nampak, pemain masih mencari tempo permainan kita lagi.

 

“Walaupun Indonesia mendahului, pasukan Malaysia ini memang ada semangat juang yang tinggi, ia perkara yang amat positif.

 

“Selepas ini, fokus kita adalah untuk meningkatkan lagi tempo,lebihkan lagi peluang-peluang menjaringkan gol,” katanya selepas perlawanan.

 

Esok, skuad akan mengharungi dua perlawanan di sebelah pagi dan petang berdepan Filipina serta Thailand.