Kejohanan Piala Asia Hoki Wanita 2025 yang akan berlangsung di Gongshu dari 5 hingga 14 September ini bakal menjadi pentas penting buat Skuad Hoki Wanita Kebangsaan menguji kekuatan sebenar mereka.
Kejohanan yang berlangsung di Gongshu Canal Sports Park Stadium itu menyaksikan Malaysia diundi dalam Kumpulan A bersama tiga pencabar utama iaitu tuan rumah China, Chinese Taipei dan Korea Selatan.
Anak buah Mohd. Nasihin Nubli akan memulakan kempen menentang China pada aksi pembukaan 5 September, sebelum bertemu Chinese Taipei (7 September) dan menutup peringkat kumpulan dengan berdepan Korea Selatan (8 September).
Ketua Jurulatih Skuad Wanita Kebangsaan, Mohd. Nasihin Nubli Ibrahim, menjelaskan bahawa pemilihan skuad kali ini dibuat berdasarkan beberapa aspek bagi memastikan pasukan mampu bersaing di kejohanan itu.
“Dalam pemilihan kali ini, kami lihat kepada beberapa aspek penting seperti teknikal, taktikal, ketahanan fizikal, kekuatan mental serta konsistensi prestasi pemain semasa latihan dan perlawanan.
“Kami mahu pemain yang bukan sahaja memiliki kemahiran, tetapi mempunyai semangat melawan serta mampu menyesuaikan diri dengan corak permainan pasukan dan ‘versatile’,” katanya.
Antara pembaharuan dalam skuad kali ini adalah penyertaan lima bintang muda daripada Skuad Piala Dunia Remaja Bawah 21 Tahun iaitu Azmyra Mia Sofea, Nur Aisyah, Nur Shamine Azureen, Siti Nur Irdina dan Nur Iman Adawiyah.
“Mereka menunjukkan kualiti, sikap yang positif serta keberanian. Kami yakin mereka bukan sekadar pelapis, malah sudah mampu memberi impak apabila diturunkan,” ujar Nasihin Nubli.
Mengulas mengenai saingan di peringkat Kumpulan A, beliau mengakui cabaran getir bakal dihadapi anak buahnya apabila akan berdepan China yang merupakan pemenang pingat perak Sukan Olimpik, Korea Selatan dan Chinese Taipei.
“Kami akan fokus perlawanan demi perlawanan kerana tiada yang mustahil. Kita pernah tewaskan Korea Selatan di Trofi Juara-Juara Asia yang lepas.
“Selepas Piala Negara-Negara 2 di Poland Jun lalu, pasukan jelas menunjukkan peningkatan dalam struktur bertahan dan menyerang, selain tahap kecergasan yang lebih baik. Kami juga mengadakan perlawanan ‘sparring’ dengan pasukan lelaki ATM ‘B’ untuk menambah intensiti,” katanya.
Dalam masa sama, Nasihin Nubli turut menjelaskan bahawa setiap pemain mempunyai peranan tersendiri dan perlu beraksi sebagai satu unit.
“Semangat berpasukan dan kerjasama sangat penting. Pemain harus sentiasa saling membantu rakan sepasukan. Kita bersatu mengejar impian.
“Harapan saya selain membawa pulang keputusan positif, skuad negara juga mampu menjadikan kejohanan ini sebagai medan pengalaman berharga bagi melonjakkan hoki wanita Malaysia ke tahap lebih tinggi, sekaligus menjadi inspirasi kepada generasi pemain muda,” jelasnya.
Berikut merupakan senarai 20 pemain yang menggalas tanggungjawab membawa cabaran Malaysia.
| BIL. | NAMA | POSISI |
| 1 | Siti Zalia Binti Nasir | PENJAGA GOL |
| 2 | Fitrinur Amiera Binti Ramlee | |
| 3 | Juliani Binti Mohamad Din | PERTAHANAN |
| 4 | Fatin Shafika Binti Mahd Sukri | |
| 5 | Dayang Nuramirah Binti Abang Mahadini | |
| 6 | Khairunnisa Ayuni Binti Mohd Sharuddin | |
| 7 | Anith Humaira Binti Baharudin | |
| 8 | Nur Nabila Alia Binti Yussaini | |
| 9 | Noor Hasliza Binti Md Ali | TENGAH |
| 10 | Nurmaizatul Hanim Syafi Binti Shiek Fuad | |
| 11 | Nur Insyirah Binti Effarizal | |
| 12 | Nur Shamine Azureen Binti Mohammad Badusha | |
| 13 | Siti Nur Irdina Binti Mohd Nor | |
| 14 | Nur Aisyah Binti Che Musa | |
| 15 | Hanis Nadiah Binti Onn | PENYERANG |
| 16 | Nur Afiqah Syahzani Binti Azhar | |
| 17 | Siti Nur Arfah Binti Mohd Nor | |
| 18 | Nuramirah Shakirah Binti Zulkifli | |
| 19 | Azmyra Mia Sofea Binti Azhari | |
| 20 | Nur Iman Adawiyah Binti Mohd Suhaimi |
Berikut merupakan jadual perlawanan melibatkan pasukan Malaysia bagi pusingan Pool A:
| HARI | TARIKH | MASA (MYT) | LAWAN |
| JUMAAT | 5 SEPT 2025 | 7:00 MALAM | CHINA |
| AHAD | 7 SEPT 2025 | 4:45 PETANG | CHINESE TAIPEI |
| ISNIN | 8 SEPT 2025 | 4:45 PETANG | KOREA |









