Pasukan hoki remaja wanita kebangsaan menamatkan kempen FIH Hoki Piala Dunia Remaja Wanita 2025 di kedudukan ke-22 selepas tewas 1-3 kepada Austria dalam aksi penentuan tempat ke-21/22 di Santiago, semalam.
Dalam perlawanan yang berlangsung sengit, Nur Iman Adawiyah Mohd Suhaimi berjaya menyamakan kedudukan pada minit ke-28 selepas Austria membuka tirai jaringan menerusi Anna Damm pada minit ke-13, menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada separuh masa pertama.
Namun, pada separuh masa kedua, Austria lebih garang apabila menjaringkan dua gol menerusi pukulan sudut penalti (PC) jaringan Katharina Proksch pada minit ke-34 dan 50 untuk memastikan kemenangan 3-1.
Ketua jurulatih Young Tigress, Lailin Abg Hassan, mengakui berasa kecewa dengan kekalahan itu namun tetap berbangga dengan usaha para pemain muda yang berjuang sebaik mungkin.
“Kita cuba menyaingi Austria, dan ianya dapat dilihat pada separuh masa pertama apabila kami berjaya menyamakan kedudukan. Namun, di separuh masa kedua, banyak kesilapan yang memberi ruang kepada lawan menjaringkan dua gol menerusi PC,” katanya.
Menurut Lailin, kejohanan ini menjadi medan pendedahan paling besar buat pemain-pemain muda negara dalam berdepan pasukan elit dunia.
“Jurang ketara bukan hanya dari segi taktikal, malah fizikal dan tahap keyakinan diri turut menjadi faktor utama.
“Justeru, pemain perlu ada keyakinan, keberanian, dan semangat juang tinggi ketika menentang pasukan antarabangsa. Persiapan fizikal dan mental amat penting kerana kita sering tewas di saat akhir akibat tekanan,” jelasnya.
Menjelang Kejuaraan Piala Remaja Asia (JAC) 2026, pasukan kini perlu merangka perancangan awal, termasuk mencari bakat baharu memandangkan sembilan pemain akan melepasi had umur dan tidak lagi bersama pasukan.
Kejohanan Piala Dunia Remaja ini diharap menjadi titik tolak kepada pembangunan lebih mantap, agar Malaysia mampu tampil lebih kompetitif di pentas dunia pada masa hadapan.









