Konfederasi Hoki Malaysia (KHM) menjalin kerjasama dengan Mizuno Malaysia Sdn Bhd untuk jersi baharu Pasukan Wanita Kebangsaan, Pasukan Remaja Wanita Kebangsaan dan Skuad Hoki Dalam Dewan Lelaki dan Wanita Negara.
Mizuno, sebuah syarikat global yang mengeluarkan pelbagai produk sukan termasuk pakaian dan peralatan untuk sukan ping ping, badminton, golf, baseball dan seni bela campuran.
Pengurus Mizuno Malaysia, Darren Wong berkata, syarikat itu juga merupakan penaja untuk Skuad Hoki Kebangsaan Jepun, Ireland, Great Britain dan beberapa kelab di Eropah.
“Untuk pasukan Malaysia, kami melihat potensi, mereka mempamerkan prestasi yang baik dan memiliki keyakinan yang tinggi,” katanya.
Menurut beliau, kerjasama tersebut membabitkan pakaian dan kasut sewaktu latihan serta kejohanan untuk keempat-empat pasukan kebangsaan tersebut.
KHM dan Mizuno menandatangani kontrak selama setahun dengan peruntukan lanjutan setahun lagi.
Presiden KHM, Dato’ Sri Subahan Kamal melahirkan rasa terujanya terhadap kerjasama yang diyakini akan memberi manfaat kepada Pasukan Hoki Wanita (senior dan remaja) Kebangsaan serta Skuad Hoki Dalam Dewan (lelaki dan wanita) Negara.
“Antara sebab lain mengapa KHM bersetuju untuk Mizuno Malaysia menyertai kami ialah kerana mereka merupakan sebuah jenama yang hebat. Kami teruja di atas kerjasama ini yang merupakan satu penghormatan buat kami,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu Majlis Menandatangani Kerjasama antara KHM dan Mizuno di Johor Bahru, hari ini.
Tambah Dato’ Sri Subahan, Mizuno sedar bahawa Skuad Wanita di peringkat senior dan remaja, mempunyai masa depan yang cerah dan merupakan antara pasukan terbaik di Asia yang menyertai pelbagai kejohanan.
Pasukan Senior Wanita bakal beraksi pada Kejohanan Hoki Wanita Trofi Juara-Juara Asia di Bihar, India bermula 11-21 November ini, sementara Pasukan Remaja Wanita akan bermain di Piala Remaja Asia dekat Muscat, Oman, Disember ini.
Piala Dunia Hoki Lelaki Dalam Dewan FIH 2025 pula bakal berlangsung di Pusat Sukan Zatika, Porec, Croatia pada 3-9 Februari tahun depan.
“Saya percaya bahawa Skuad Remaja Wanita akan melayakkan diri pada Piala Dunia secara merit buat kali pertama.
“Dengan terjalinnya kerjasama ini ia akan memberi suntikan tambahan kepada para pemain. Kami mahu membawa jenama ini ke dalam Piala Dunia Remaja,” kata Subahan.
Beliau juga menegaskan, skuad senior pula berada di landasan tepat dengan harapan dapat mencatat keputusan podium pada Sukan Asia 2026.