Speedy Tiger Rebut Podium Kedudukan 3 Terbaik

Malaysia akan beraksi di penentuan tempat ke-3 dan ke-4 Kejohanan Piala Asia 2025 di Rajgir, India selepas perlawanan terakhir pusingan ‘Super Four ‘bertemu Korea Selatan berakhir dengan keputusan skuad negara tewas 3-4.

 

Perlawanan yang berlangsung di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar berlangsung cukup sengit, menyaksikan Malaysia bermula dengan cemerlang apabila membuka tirai jaringan seawal minit ke-9 menerusi gol padang, ledakan Mohd Fitri Saari.

 

Korea Selatan bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-24 menerusi penyudah pukulan sudut penalti oleh Kim Hyeonhong tetapi Malaysia kembali mendahului empat minit kemudian hasil gol padang dicetak Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi.

 

Speedy Tigers terus garang apabila menggandakan kedudukan kepada 3-1 selepas Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-31.

 

Ketika Malaysia seakan sudah membayangkan bakal bermain di perlawanan final, Korea Selatan bangkit dengan menjaringkan tiga gol masing-masing menerusi Oh Seyong pada minit ke-44, Lee Jungjun (m-50) dan Kim Hyeonhong (m-51).

 

Usaha Malaysia untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan kedudukan, sekaligus mencari gol melebarkan jurang tidak kesampaian meskipun telah melakukan serangan bertali arus ke gawang Korea Selatan, mengeluarkan penjaga gol dan beraksi dengan lebihan pemain, serta mendapatkan tiga pukulan sudut penalti pada empat minit terakhir perlawanan.

 

Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh mengakui nasib mungkin tidak menyebelahi pasukan negara walaupun telah bermain dengan baik dan mencipta banyak peluang.

 

“Perlawanan yang sengit, di mana kita mendahului 3-1 pada babak pertama. Tetapi kita ada buat dua kesilapan. Bagi saya, pemain bermain dengan baik.

 

“Kita ada peluang tetapi tidak mengambilnya maka ini yang terjadi. Pada penghujung perlawanan kita memperolehi tiga pukulan sudut penalti tetapi tidak menjaringkan gol.

 

“Ketika kedudukan 3-2 menyebabkan pemain bermain dalam keadaan tertekan sehingga melepaskan gol menjadi 3-3 dan dua orang pemain kita kena kad hijau selepas itu,” katanya selepas perlawanan.

 

Tambah Sarjit, dua pemain negara ketika ini mengalami kecederaan iaitu Shello Silverius dan Syed Mohamad Syafiq namun beliau harap mereka akan cepat sembuh serta dapat kembali bersama pasukan.

 

“Sekarang kita kena fokus kepada proses permulihan dan kecergasan kerana kita telah mengharungi tiga aksi yang sangat mencabar.

 

“Shello dan Syafiq mengalami kecederaan, saya harap mereka dapat sembuh secepat mungkin untuk kembali bersama pasukan untuk bermain pada perlawanan terakhir,” jelasnya.

 

Malaysia akan turun esok berdepan China bagi penentuan kedudukan tempat ke-3 dan ke-4 Kejohanan Piala Asia 2025 di venue sama.

 

Untuk rekod, penyerang Speedy Tigers, Mohamad Akhimullah Anuar Esook masih kekal memimpin carta penjaring gol terbanyak dengan 10 gol yang telah disumbangkannya diikuti empat pemain lain (Mohamad Ashran Hamsani, Abhishek dan Harmanpreet – India, serta Agymtay Duisengazy – Kazakhstan) mengekori dengan 6 gol.