Pasukan Hoki Lelaki Kebangsaan mengekalkan momentum kemenangan selepas membuka kempen pusingan ‘Super Four’ Piala Asia 2025 di Rajgir, India, dengan menewaskan China 2-0, hari ini.
Pada aksi itu, skuad bimbingan Sarjit Singh terpaksa menunggu hingga minit ke-45 untuk membuka tirai jaringan menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan pukulan sudut penalti.
Gawang China sekali lagi dirobek pasukan negara, kali ini menerusi gol padang oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook dan kedudukan itu kekal sehingga tamat perlawanan.
Jaringan itu menyaksikan Mohamad Akhimullah telah mengumpul 10 gol setakat ini dimana lapan daripadanya terhasil menerusi gol padang di kejohanan tersebut.
Ketua jurulatih skuad hoki lelaki kebangsaan, Sarjit Singh memuji komitmen dan kesungguhan ditunjukkan semua pemain yang memastikan kemenangan menjadi milik pasukan.
Katanya, tempoh mengembalikan semula kecergasan sangat penting kerana bermain empat perlawanan dalam empat hari adalah sesuatu yang sangat mencabar terutama berdepan pasukan-pasukan berkualiti.
“Kita bermain baik dan mengikut perancangan. Kita tahu tentang kekuatan China, sebab itu kita bermain berhati-hati terlebih dahulu, lepas itu kita beri tekanan dan mencipta peluang.
“Pertama, kita kena lakukan proses pemulihan dahulu kerana seperti saya kata sebelum ini nak main empat perlawanan dalam lima hari bukan sesuatu yang mudah, saya harap para pemain dapat cepat cergas semula.
“Setiap perlawanan sangat mencabar dan semua pemain telah beri komitmen sepenuhnya dan bekerja keras. Kita harap dapat mengekalkan prestasi,” kata Sarjit selepas perlawanan.
Skuad negara akan berdepan pasukan tuan rumah, India yang menduduki tangga ketujuh dunia pada aksi kedua yang dijadualkan bermula 10 malam esok.
Berdasarkan pertemuan kali terakhir semasa Trofi Juara-Juara Asia di China tahun lalu menyaksikan India menang 8-1 ke atas Speedy Tigers.
Selepas pertemuan dengan India, skuad negara akan menamatkan aksi round robin bertemu Korea Selatan, Sabtu ini.
Malaysia perlu mengutip enam mata ataupun sekurang-kurangnya meraih tempat kedua pada pusingan ‘Super Four’ bagi menempah tiket ke final, yang secara automatik menawarkan slot ke Piala Dunia 2026 di Belgium dan Belanda, jika muncul juara.









