Skuad hoki negara kembali bangkit ke landasan kemenangan selepas menewaskan Korea Selatan 2-1 dalam aksi terakhir Kumpulan A Piala Negara-Negara 2025-26 di Stadium Hartleyvale, Cape Town hari ini.
Kemenangan itu pastinya melonjakkan semangat dan keyakinan para pemain Speedy Tigers yang mengesahkan slot ke penentuan tempat kelima hingga lapan kejohanan di bumi Afrika Selatan.
Ketua jurulatih skuad negara, Brendon Carolan memuji karakter dan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya selepas tewas dua perlawanan Kumpulan A sebelum ini.
“Saya fikir fasa pembinaan serangan dan penguasaan bola juga lebih baik walaupun masih ada beberapa ketikanya kami kehilangan penguasaan bola.
“Kadang-kadang keputusan yang diperoleh sebenarnya adalah hasil daripada prestasi ditampilkan. Jadi, ia sesuatu yang positif untuk meraih keputusan ini dan satu langkah ke hadapan untuk perlawanan seterusnya,” katanya.
Kapten Speedy Tigers, Muhammad Marhan Mohd Jalil juga meluahkan kegembiraannya kerana dia dan rakan sepasukannya berjaya menutup saingan Kumpulan A dengan langkah kemenangan.
“Rakan-rakan sepasukan telah memberikan yang terbaik hari ini dalam perlawanan menentang Korea. Kami tidak sabar untuk bermain perlawanan penentuan dan harap kami dapat meneruskan rentak kemenangan seperti hari ini,” jelasnya.
Speedy Tigers membuka tirai jaringan seawal minit kelima menerusi jaringan padang Mohamad Akhimullah Anuar Esook, namun Korea Selatan berjaya bangkit mengikat kedudukan melalui Lee Gangsan pada minit ke-20.
Usaha demi usaha dan sikap tidak mudah berputus asa ditunjukkan para pemain akhirnya membuahkan hasil apabila Shello Silverius memanfaatkan situasi Korea Selatan yang bermain ‘power play’ dengan gol kemenangan pada minit ke-58.
Kemenangan itu meletakkan Speedy Tigers di tangga ketiga Kumpulan A dan akan bertemu pasukan tempat keempat Kumpulan B, Amerika Syarikat untuk penentuan tempat kelima hingga lapan pada Jumaat ini.









