Skuad Lelaki Kebangsaan menarik nafas lega apabila berjaya meraih kemenangan yang dicari-cari, namun, di sebalik kejayaan menundukan Jepun 5-4, Speedy Tigers turut berdepan isu kecederaan dalam perlawanan keempat Kejohanan Hoki Trofi Juara-Juara Asia Moqi 2024 di Hulunbair, Inner Mongolia, China, hari ini.
Skuad bimbingan Ketua Jurulatih, Sarjit Singh itu terdesak untuk memburu tiga mata penuh, selepas mengalami dua kekalahan dan satu seri dalam tiga perlawanan terdahulu.
Malaysia kini mengumpul empat mata daripada empat perlawanan dan menghuni kedudukan keempat iaitu tempat terakhir yang menawarkan slot ke separuh akhir.
Bagaimanapun pasukan negara perlu melepasi cabaran Korea Selatan dalam perlawanan terakhir pada kejohanan yang dilangsungkan secara round robin itu dan mereka wajib mendapatkan tiga mata penuh jika berhajat untuk melangkah ke separuh akhir.
Sarjit berkata, para pemainnya berjaya mencatat kemenangan seperti yang disasarkan, tetapi, mereka terpaksa membayar harga yang cukup mahal apabila beberapa pemain mengalami kecederaan.
“Kemahuan merupakan satu usaha yang baik dipamerkan keseluruhan pemain, walaupun, adakalanya mereka membuat beberapa kesilapan di atas padang. Pasukan berhak untuk menang pada hari ini,” katanya.
Menurut bekas pemain kebangsaan itu, untuk menjaringkan lima gol di pentas antarabangsa sebenarnya adalah sesuatu yang baik.
Namun, jelasnya, jika pemain mengambil setiap peluang yang ada untuk menjaringkan gol sudah pasti pasukan dapat menjaringkan lebih banyak gol, hari ini.
Mengulas mengenai aksi berdepan Korea Selatan, Sabtu ini, Sarjit memberitahu, anak-anak buahnya mempunyai sehari rehat, esok, dan berharap mereka dapat berehat secukupnya sebelum mengharungi perlawanan tersebut.
“Barisan kejurulatihan akan membuat persiapan untuk perlawanan terakhir bertemu Korea.
“Korea sebuah pasukan yang bagus, kami perlu membuat persiapan yang rapi untuk bertemu mereka. Hanya kemenangan yang akan menjamin pasukan untuk layak ke separuh akhir,” ujarnya.
Dalam perlawanan menentang Jepun, lima gol yang diledakkan skuad negara disempurnakan oleh Syed Syafiq Syed Cholan (minit ke-12, ke-40), Norsyafiq Sumantri (minit ke-21), Syarman Mat Tee (minit ke-47) dan Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal (minit ke-48).
Sementara empat jaringan yang dicatat Jepun dihasilkan melalui Ken Nagayoshi (minit ke-24, ke-28), Tsubasa Tanaka (minit ke-36) dan Kazumasa Matsumoto (minit ke-51).