Pasukan hoki lelaki negara berharap peminat-peminat tempatan dapat hadir membanjiri Stadium Azlan Shah bagi memberi sokongan kepada Speedy Tigers sepanjang saingan Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) edisi ke-30 berlangsung bermula esok hingga Maay 11.
Kedatangan penyokong-penyokong Malaysia pastinya memberi suntikan motivasi tambahan kepada pemain-pemain untuk berjuang demi lencana di dada di kejohanan berkenaan.
Malaysia bakal membuka tirai kempen PSAS 2024 menentang Pakistan malam esok dengan misi mencatat keputusan positif.
Tonggak tengah negara, Fitri Saari menyeru rakan-rakan sepasukan untuk memberi aksi terbaik supaya tidak menghampakan penyokong-penyokong yang setia memberi sokongan kepada pasukan.
Jelasnya, sokongan para penyokong semestinya sangat penting kepada pemain-pemain terutama apabila beraksi sebagai pasukan tuan rumah.
“Kami akan cuba beri yang terbaik dalam setiap perlawanan yang diharungi. Fokus utama ketika ini adalah perlawanan esok menentang Pakistan.
“Kemenangan semestinya penting untuk aksi pertama bagi meningkatkan motivasi pada perlawanan seterusnya.
“Jadi saya harap pada perlawanan esok kami akan dibantu oleh penyokong-penyokong untuk bersama-sama berjuang mengharumkan nama negara,”katanya.
Tiga rekod pertemuan terakhir Malaysia dan Pakistan juga seimbang buat kedua-dua pasukan apabila masing-masing mencatat satu kemenangan,satu seri dan satu tewas.
Kali terakhir Malaysia menjinakkan Pakistan adalah pada 3 Ogos 2023 di kempen Trofi Juara-Juara Asia dengan keputusan 3-1 manakala seri 3-3 dicatat pada kelayakan Olimpik Paris di Oman, Januari lalu.
Kekalahan Speedy Tigers pula dicatat di Sukan Asia Hangzhou 2023 dengan keputusan 5-2.
Malaysia yang menduduki ranking ke-13 dunia, akan memulakan kempen menentang juara tiga kali Pakistan esok, diikuti aksi menentang Kanada (5 Mei), juara dua kali New Zealand (7 Mei), Jepun (8 Mei) dan juara tiga kali Korea Selatan (10 Mei).
Berdasarkan format kejohanan yang telah memasuki edisi ke-30, dua pasukan teratas liga sepusingan akan berentap memburu kejuaraan, manakala pasukan di kedudukan ketiga dan keempat akan beraksi dalam penentuan tempat ketiga.