Speedy Tigers Fokus Tingkatkan Kefahaman Taktikal

Kem latihan skuad hoki negara di Durban, Afrika Selatan ketika ini turut memberi tumpuan kepada persefahaman pemain untuk menyesuaikan diri dengan taktikal permainan yang diterapkan ketua jurulatih, Brendon Carolan.

 

Perkara itu diakui pemain tengah berpengalaman Speedy Tigers, Mohd. Fitri Saari menjelang enam perlawanan persahabatan menentang pasukan No.13 dunia, Afrika Selatan dari 6 hingga 12 Julai ini.

 

“Kami perlu tingkatkan lagi persefahaman antara pemain dan cepat sesuaikan diri dengan taktikal baharu daripada jurulatih.

 

“Kefahaman taktikal ini amat penting dan pada masa sama kena tingkatkan juga aspek keupayaan membuat keputusan yang tepat dalam permainan,” katanya.

 

Speedy Tigers memilih untuk menjalani kem latihan di Afrika Selatan selepas tamat saingan Piala Negara-Negara 2025-26 di Cape Town pertengahan bulan lalu.

 

 

Kem latihan dan enam siri persahabatan dengan Afrika Selatan yang muncul naib juara Piala Negara-Negara 2025-26 itu antara langkah persediaan sebelum Speedy Tigers turun ke Piala Dunia 2026 di Wavre, Belgium pada Ogos nanti.

 

 

Di Piala Dunia yang bermula 14 Ogos nanti, skuad negara bakal berhadapan tugas getir apabila diundi dalam Kumpulan B bersama dua bekas juara dunia, Belgium dan Jerman selain juara Piala Negara-Negara 2025-26, Perancis.

 

Selepas tamat tugasan Piala Dunia, cabaran sebenar menanti Speedy Tigers yang akan turun memburu pingat emas pada Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 di Jepun dari 19 September hingga 4 Oktober depan.