Skuad Speedy Tigers menampilkan aksi cukup menyakinkan meskipun terpaksa menelan kekalahan 4-5 di tangan Pakistan pada aksi pertama Piala Sultan Azlan Shah 2024, sebentar tadi.
Kehadiran lebih 5,000 penyokong-penyokong Malaysia yang hadir memberi sokongan kepada pasukan hoki lelaki negara di Stadium Azlan Shah memberi motivasi tambahan kepada Speedy Tigers.
Pada aksi itu, Pakistan terlebih dahulu membuka tirai jaringan pada minit kesembilan menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Sufyan Khan.
Tersentak dengan jaringan itu, Speedy Tigers pantas bangkit menyamakan kedudukan menerusi gol padang, Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-13 dan dia sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring pada minit ke-28 untuk meletakkan Malaysia mendahului 2-1 sebelum memasuki bilik persalinan.
Bersambung kembali permainan, Speedy Tigers terus meningkatkan intensiti permainan dan hasilnya Azrai Aizad mencetak hatrik apabila mudah menolak bola ke gawang Pakistan pada minit ke-45 juga menerusi pukulan sudut penalti.
Namun, Pakistan kembali merapatkan kedudukan menerusi gol pukulan sudut penalti oleh Sufyan pada minit ke-50, sebelum Hayat Zikriya menyamakan kedudukan tiga minit kemudian hasil gol padang.
Malaysia kembali didepan pada minit ke-58 menerusi Shello Silverius untuk gol keempat namun disamakan semula oleh Sufyan seminit kemudian, sebelum Abu Bakar Mahmood
meledak gol kemenangan dengan menyempurnakan penalti stroke pada penghujung permainan.
Untuk rekod, pertemuan terakhir kedua-dua pasukan pada perlawanan kelayakan Sukan Olimpik 2024 di Oman Januari lalu berakhir dengan keputusan 3-3, manakala kali terakhir Malaysia melakar kemenangan ke atas Pakistan adalah pada 2023 di kempen Trofi Juara-Juara Asia (3-1).
MALAYSIA: SARJIT SINGH (JURULATIH)
“Kami dihukum kerana melakukan beberapa kesilapan dan ia dimanfaatkan oleh Pakistan untuk menjaringkan gol. Tetapi pujian juga harus diberikan kepada pemain yang menunjukkan komitmen cukup tinggi dalam perlawanan ini.
Seperti saya cakap sebelum ini, perancangan kami untuk jangka panjang dan jika lebih banyak perlawanan seperti ini, pemain-pemain akan belajar untuk mengurangkan melakukan kesilapan.
Pada lima minit terakhir kami terikut-ikut rentak penonton sehingga kami dihukum tetapi saya harap perlawanan seterusnya penyokong-penyokong akan terus datang memberi sokongan kepada kami.”
PAKISTAN: ROELANT OLTMANS
“Perlawanan yang ‘gila’ ditunjukkan oleh kedua-dua pasukan. Ia sangat menarik untuk ditonton dan kami bernasi baik memenangi perlawanan ini.
Malaysia melakukan kesilapan dan kami memanfaatkan peluang itu, begitu juga, dua kesilapan kehilangan bola di tengah yang tidak sepatutnya dilakukan pemain saya sehingga memberi gol kepada Malaysia.
Pujian untuk pemain, kami hanya berlatih tidak sampai seminggu untuk menghadapi kejohanan ini.”