Skuad hoki padang lelaki kebangsaan mengukuhkan status selaku pilihan utama pingat emas apabila menewaskan tuan rumah, Thailand 6-2 pada aksi keempat peringkat ’round robin’ Sukan SEA Thailand 2025 di Universiti Sukan Kebangsaan, hari ini.
Kemenangan bergaya itu sekali gus memberi isyarat jelas bahawa dominasi Malaysia dalam acara hoki padang lelaki di pentas temasya dwitahunan berkenaan masih sukar digugat.
Speedy Tigers bermula cemerlang apabila Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal membuka tirai jaringan menerusi gol padang pada minit ketujuh sebelum Amanraj Singh menggandakan kelebihan hanya seminit kemudian.
Azrai Aizad sekali lagi mencuri tumpuan apabila meledak gol kedua peribadinya pada minit ke-14, sekali gus meletakkan Malaysia selesa mendahului 3-0 pada babak pertama perlawanan.
Bersambung separuh babak kedua, Syed Syafiq Syed Cholan menambah jaringan menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-36, sebelum Thailand merapatkan jurang hasil gol Udomchok Phokphun pada minit ke-49.
Namun kebangkitan itu segera dipatahkan apabila Faiz Helmi Jali dan Norsyafiq Sumantri masing-masing menyempurnakan pukulan sudut penalti pada minit ke-51 dan 52, sebelum Udomchok sekali lagi mencetak nama sebagai penjaring untuk Thailand pada minit ke-59.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh menyifatkan prestasi anak buahnya berada di landasan tepat menjelang perlawanan kalah mati, namun menegaskan fokus utama pasukan kini adalah memastikan konsistensi permainan dikekalkan.
“Untuk separuh akhir, pasukan di tangga pertama akan bertemu pasukan di kedudukan keempat dan kedua menentang ketiga. Kita tahu kita berada di kedudukan pertama dan akan menentang pasukan nombor empat (Singapura).
“Harap separuh akhir dan final nanti kita bermain dengan baik kerana kedua-dua perlawanan itu sangat penting,” katanya selepas perlawanan.
Malaysia dijadualkan menentang Singapura bagi aksi separuh akhir pada 18 Disember (Khamis ini), iaitu lawan yang pernah ditewaskan 6-0 pada saingan round robin, dan Sarjit optimis pasukannya mampu mengulangi prestasi cemerlang itu.
“Separuh akhir nanti kita akan lawan Singapura. Kita akan terus bermain dengan baik, memberi peluang kepada semua pemain beraksi, mencipta sebanyak mungkin peluang dan menjaringkan gol,” jelasnya.
Sementara itu, skuad hoki wanita kebangsaan pula terikat 1-1 dengan Thailand pada aksi terakhir ’round robin’.
Gol Malaysian Tigress dijaringkan oleh Nuramirah Shakirah Zulkifli pada minit ke-22 apabila menyudahkan penalti stroke manakala Thailand menyamakan kedudukan dua minit sebelum perlawanan tamat hasil gol padang Sudarat Noo-Keaw.









