Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan tetap gembira dengan keseluruhan prestasi para pemainnya, sekali gus memberi gambaran positif ke Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026 dari 19 September hingga 4 Oktober nanti.
Beliau menyifatkan Speedy Tigers sudah bermain bagus, namun nasib tidak memihak mereka apabila menutup kempen Piala Dunia 2026 di kedudukan ke-16 selepas tewas 1-2 kepada Wales menerusi penentuan penalti shoot-out setelah terikat 2-2.
Bagaimanapun, Carolan percaya anak-anak buahnya kini sudah mampu menunjukkan permainan hoki menarik yang membolehkan mereka menjaringkan gol dalam mana-mana perlawanan seperti dibuktikan sepanjang Piala Dunia kali ini.
“Sudah tentu kami mahu menamatkan di kedudukan yang lebih tinggi daripada ini. Kami lebih konsisten, cuma sekali lagi bolos gol mudah pada saat-saat kritikal ketika sedang mendahului.
“Kami terlepas beberapa peluang jelas selain enam atau tujuh pukulan sudut penalti yang kami perlu lakukan dengan lebih baik untuk ambil perlawanan ini. Jadi dari segi prestasi, saya rasa ia bagus dan kami semakin hampir.
“Sudah tentu kami mahukan kemenangan hari ini tetapi teruslah menyokong kami. Kami berjanji akan memberikan prestasi yang lebih bagik di Sukan Asia nanti,” katanya.
Dalam perlawanan itu, Wales mendahului menerusi Benjamin Francis pada minit ke-29 sebelum Malaysia bangkit meledak dua gol melalui Faizal Saari (m-41) dan Akhimullah Anuar Esook (m-52).
Namun, Wales kembali mengikat kedudukan 2-2 menerusi Liam Barker pada minit ke-53 untuk mengheret perlawanan ke penentuan penalti shoot-sout yang akhirnya dimenangi mereka dengan keputusan 2-1.









