Speedy Tigers Kelima terbaik, Baiki Pencapaian Dua Edisi Lalu

Peningkatan yang positif terus ditunjukkan oleh Skuad Hoki Lelaki Negara apabila mengakhiri kempen FIH Hoki Piala Negara-Negara 2025-26 di kedudukan kelima terbaik sekaligus memperbaiki pencapaian dua edisi terdahulu.

 

Ia hasil kemenangan 4-2 Speedy Tigers ke atas Scotland dalam aksi penentuan tempat kelima dan keenam kejohanan di Stadium Hartleyvale, Cape Town hari ini.

 

Dua edisi sebelum ini menyaksikan Malaysia menamatkan kempen Piala Negara-Negara di tempat ketujuh pada 2023 dan keenam tahun lalu.

 

Ketua Jurulatih Skuad Senior Lelaki Kebangsaan, Brendon Carolan tetap menganggap barisan pemain menamatkan kejohanan dengan cara yang bagus biarpun terlepas ke separuh akhir sebelum ini.

 

“Kami menamatkan kejohanan dengan empat kemenangan dan dua kekalahan. Malangnya, kami tewas dalam dua perlawanan yang penting, tetapi anda tahu, ini adalah fasa pembinaan bagi kami.

 

“Sudah tentu kami mahu berada di separuh akhir dan pusingan kalah mati (playoff), tetapi ini cara yang positif untuk memberi kami momentum menjelang dua bulan yang sangat sibuk selepas ini,” katanya.

 

Kapten Negara, Muhammad Marhan Mohd Jalil turut gembira dengan respons keseluruhan ditampilkan mereka biarpun pada satu ketika Scotland berjaya mengikat kedudukan di suku masa ketiga.

 

“Hari ini pemain-pemain menunjukkan semangat juang yang tinggi di awal permainan. Walaupun Scotland mengikat keadaan, kami tidak berputus asa untuk habiskan 60 minit dengan kemenangan,” jelasnya.

 

Speedy Tigers mendahului 2-0 menerusi penalti stroke Faizal Saari dan gol padang Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit kelapan serta 19.

 

Scotland bangkit menyamakan kedudukan dengan dua gol daripada Jamie Golden hasil pukulan sudut penalti (PC) pada minit ke-32 dan jaringan padang David Nairn (m-44).

 

Namun, kedudukan itu cuma bertahan seminit sebelum Mohamad Akhimullah Anuar Esook meledak gol ketiga Speedy Tigers untuk mengumpul jaringan kelima peribadi sepanjang kejohanan.

 

Azrai kemudian membuktikan sentuhan berbisanya apabila meledak gol peribadi keenan untuk memastikan kemenangan 4-2 buat skuad negara pada minit ke-50.

Selepas ini, Speedy Tigers akan kekal di bumi Afrika Selatan untuk kem pemantapan pasukan dan lima siri persahabatan dengan pasukan negara itu di Durban sebelum pulang ke tanah air pada 14 Julai nanti.